KESATUAN PEKERJA-PEKERJA
PENGGALAK PELANCONGAN MALAYSIA, SEMENANJUNG MALAYSIA
PENGENALAN
Malaysia merupakan salah sebuah
destinasi pelancongan terbaik di dunia. Negara ini amat bertuah kerana
mempunyai masyarakat yang pelbagai kaum tetapi masih boleh berkongsi budaya
untuk hidup dalam satu negara dengan semangat 1 Malaysia. Di samping itu
Malaysia juga dikurniakan dengan pelbagai jenis makanan yang lazat, gugusan
pulau-pulau yang menarik dan tempat-tempat pelancongan yang bertaraf dunia.
Buktinya saban tahun statistik ketibaan para pelancong ke Malaysia menunjukkan
pergerakan yang positif. Badan yang diberi mandat memancu industri ini agar
lebih maju ialah Lembaga Pelancongan Malaysia atau lebih dikenali sebagai
Tourism Malaysia. Sehingga ke hari ini, Tourism Malaysia terus menabur bakti
dan ternyata masih berdiri teguh, kukuh serta terus didukungi oleh sekelian
warga pekerja dari pelbagai generasi. Jika dilihat dari satu sudut
interpretasi, ini pasti satu pencapaian yang berprestasi tinggi. Kejayaan demi
kejayaan yang diukir oleh entiti ini sememangnya wajar mendapat pengiktirafan
oleh semua pihak (Majalah Libur,2011). Warga kerja yang berkecimpung dalam
industri pelancongan perlu dijaga hak dan kebajikan mereka sejajar dengan bakti
yang ditabur kepada negara. Ironinya, masih terdapat sesetengah pihak yang
tidak menjaga kebajikan para pekerja pusat-pusat pelancongan yang beroperasi
khasnya di Semenanjung Malaysia.
Oleh itu sebuah
kesatuan sekerja telah ditubuhkan di bawah Ordinan Kesatuan Sekerja 1959.
Kesatuan yang dikenali sebagai Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalak
Pelancongan Malaysia telah ditubuhkan dan didaftarkan pada tahun 1999. Kewujudannya
adalah untuk mewakili warga kerja dalam industri pelancongan di Semenanjung
Malaysia. Objektif utamanya penubuhannya adalah untuk menjamin hak dan
kebajikan para pekerja yang menjadi duta kecil negara dari kacamata para
pelancong. Ianya adalah sejajar dengan pertambahan dan kepelbagaian bidang
kerja ekoran dengan peningkatan bilangan pelancong yang datang ke Malaysia. Di
mana peranan penting sesebuah kesatuan sekerja adalah untuk menyelesaikan
sebarang pertikaian atau konflik yang wujud dalam hubungan perindustrian di
antara majikan dengan pekerja. Dengan kata lain, sesebuah kesatuan sekerja
merupakan orang ketiga dalam konteks hubungan perusahaan dalam sesebuah
organisasi.
DEFINISI
KESATUAN SEKERJA
Menurut Akta Perhubungan
Perusahaan 1967, kesatuan sekerja boleh ditakrifkan sebagai mana-mana kesatuan
sekerja atau kesatuan yang didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang yang
berhubungan dengan pendaftaran kesatuan sekerja. Oleh itu sesebuah kesatuan
sekerja bukan sahaja milik para pekerja malah kesatuan kerja juga boleh
dianggotai kesatuan majikan-majikan. Walau bagaimanapun, di negara kita pihak
majikan tidak menggunapakai istilah kesatuan kerana ianya bercanggah atau
bertentangan dengan peruntukan statut. Lantaran itu pihak majikan kebiasaanya
menggunakan perkataan persatuan untuk kesatuan mereka.
SEJARAH
PENUBUHAN
Seksyen 2 Ordinan Kesatuan
Sekerja 1995 mentakrifkan kesatuan sekerja sebagai apa-apa pertubuhan atau
gabungan pekerja-pekerja atau majikan-majikan yang berada di Malaysia Barat,
Sabah dan Serawak. Di mana lokasi para pekerja di sesebuah organisasi mesti terletak di Malaysia Barat, Sabah atau Serawak atau
majikan-majikan yang mengambil para pekerja di Malaysia Barat, Sabah atau
Serawak.
Manakala menurut Akta
Perhubungan Perusahaan 1967 pula mendefinisikan kesatuan sekerja sebagai
mana-mana kesatuan sekerja yang didaftarkan dengan pejabat Pendaftaran Kesatuan
Sekerja, Jabatan Kesatuan Sekerja, Kementerian Sumber Manusia. Justeru sesebuah
kesatuan sekerja boleh terdiri daripada kesatuan pekerja-pekerja di sesebuah
organisasi atau sebuah kesatuan yang dianggotai oleh majikan-majikan ( ILBS, 2001).
Oleh yang demikian,
sesebuah kesatuan sekerja di Malaysia dapat dikelasifikasikan kepada tiga (3)
jenis utama yakni kesatuan sekerja sektor awam, kesatuan sekerja sektor swasta
dan kesatuan sekerja majikan. Kesatuan sekerja sektor awam boleh dianggotai
oleh kakitangan atau majikan yang berkhidmat di sektor kerajaan, badan berkanun
dan kerajaan tempatan. Kakitangan yang bertugas di sektor awam hanya boleh
menubuh dan menganggotai kesatuan dalam kementerian, jabatan atau bidang
pekerjaan yang serupa. Contoh kesatuan sekerja di sektor kerajaan ialah Kongres
Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres
Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Manakala kesatuan
sekerja sektor swasta merupakan sebuah kesatuan yang bersifat kebangsaan atau
bersifat kesatuan dalaman. Kesatuan yang bercorak kebangsaan adalah mereka yang
berada dalam tred[1] dan industri yang sama.
Sebaliknya kesatuan dalaman ialah sebuah kesatuan yang terdiri daripada
kakitangan yang bekerja di sesebuah organisasi. contohnya Kesatuan Sekerja
Pengangkutan (TWU), Kesatuan Kebangsaanb Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), Kesatuan
Sekerja Pekerja Telekom (NUTE) dan lain-lain lagi.
Akhir sekali kesatuan
majikan atau lebih dikenali sebagai peraturan. Akta Kesatuan Sekerja memberi
hak yang sama terhadap majikan untuk menubuh dan menganggotai kesatuan sekerja
majikan. Namun majikan tidak boleh menganggotai kesatuan sekerja pekerja dan
begitulah sebaliknya, pekerja tidak boleh mengamggotai kesatuan sekerja yang
anggotai oleh majikan atau kesatuan sekerja majikan (ILBS,2001). Contoh
kesatuan majikan ialah The Malayan Agricultural Producer’s Association (MAFA).
Seterusnya
berdasarkan kelasifikasi tersebut maka Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga
Pelancongan Malaysia di Semenanjung Malaysia merupakan sebuah kesatuan yang
terletak di bawah kesatuan sekerja sektor swasta. Sebagai mana yang dijelaskan
sebelum ini, kesatuan sekerja pekerja merupakan sebuah organisasi yang mewakili
para pekerja dalam rangka kerja hubungan di antara pekerja dengan majikan.
Peranan utama sesebuah kesatuan sekerja ialah untuk mewakili dan melindungi
pekerja tanpa wujudnya diskriminasi serta memperjuangkan hak dan keperluan
ahli-ahlinya. Ringkasnya, penubuhan sesebuah kesatuan sekerja adalah untuk
menyelesaikan sebarang masalah pekerja dengan majikan jika berlaku konflik atau
perselisihan yang boleh memudaratkan kepentingan kedua-dua pihak. Di mana
kesatuan sekerja bertindak sebagai pernyataan terancang hak-hak utama para
pekerja bagi mengatur diri mereka, melindungi dan memajukan kepentingan mereka
melalui tindakan kolektif. Justeru, semakin ramai keanggotaan para pekerja dalam
sesebuah kesatuan menjadikan kesatuan tersebut semakin kuat dan berpengaruh.
Pepatah Melayu ada menyatakan “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.
Matlamat utama
sesebuah kesatuan sekerja adalah untuk memelihara hak dan kebajikan
ahli-ahlinya disamping berperanan mewakili mereka sekiranya wujud sebarang
tindakan perusahaan dalam perhubungan antara majikan dengan pekerja di sesebuah
organisasi. Oleh yang demikian, penubuhan sesebuah kesatuan sekerja adalah
ekoran daripada terbentuknya suatu masalah atau pertikaian yang tidak dapat
diselesaikan secara terus di antara majikan dengan para pekerja. Maka sebagai
satu kaedah penyelesaian jangka panjang para pekerja telah bersepakat
menubuhkan sebuah kesatuan sekerja sebagai wakil mereka untuk berunding dengan
pihak pengurusan. Selain berurusan secara terus dengan pihak pengurusan
sesebuah kesatuan sekerja juga berperanan untuk mengadakan perundingan dengan
pihak kerajaan seandainya mereka berdepan dengan suatu isu yang memerlukan
jawapan daripada mahkamah perusahaaan atau pihak kerajaan. Sekiranya konflik
tersebut dibiarkan berlanjutan tanpa adanya tindakan daripada kesatuan sekerja
atau organisasi tersebut tidak mempunyai kesatuan sekerja maka dibimbangi isu tersebut menjadi semakin serius seperti
satu wabak apabila ia mula dimanipulasi oleh pihak-pihak yang berkepentingan
atau dihebahkan kepada masyarakat umum oleh media-media massa sama ada media
elektronik atau media cetak. Masalah utama yang timbul dikalangan
pekerja-pekerja sektor pelancongan ialah masalah tangga gaji mimimum,
perlindungan insuran untuk pemandu-pemandu pelancong sama ada pemandu bot
pelancongan atau pemandu pelancong bagi aktiviti lasak seperti meredah hutan,
mendaki gunung, peminat hidupan liar, penyelam scuba dan sebagainya, mereka
juga berdepan dengan sikap majikan yang mandang remeh atau mengambil sikap acuh
tidak acuh aspek kesihatan dan keselamatan pekerja-pekerja di sektor
pelancongan seperti mereka yang berkhidmat sebagai house kiping di hotel-hotel.
PENUBUHAN
KESATUAN SEKERJA
Nama kesatuan: Kesatuan Sekerja
Pekerja-pekerja Lembaga Penggalak Pelancongan
Malaysia.
Alamat : Aras 6, No.2, Menara 1 (KPK), Jalan P5/6,
Persint 5, 62200 Puterajaya,
Malaysia.
No Tel : 02-8891 8000
Fax : 03-8891 8999
Email : tm-union@gmail.com
OBJEKTIF
1.
Melindungi
kepentingan ahlinya.
2.
Menjaga
kebajikan para pekerja pusat-pusat pelancongan di Semenanjung Malaysia.
3.
Mengawal
selia perhubungan antara pekerja dan majikan mereka.
4.
Memperjuangkan
hak dan keadilan para pekerja pusat pelancongan
5.
Mewakili
pekerja dalam Mahkamah Perusahaan, Mahkamah Buruh, dan sebagainya.
6.
Menggalakkan
atau mengatur apa-apa tindakan perusahaan yang sah, termasuk mogok atau piket
di mana ianya tertakluk kepada peruntukan Akta Kesatuan Sekerja 1959.
VISI
Matlamat Kesatuan Pekerja-Pekerja
Penggalak Pelancongan Malaysia adalah untuk mewujudkan suasana kerja yang
konduksif untuk keselesaan para pelancong dan menjadikan Malaysia sebagai
sebuah negara yang wajib dilawati oleh setiap pelancong.
KEAHLIAN
Pada peringkat awal penubuhannya
keahlian Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia ini
berjumlah 57 orang. Namun keahliannya semakin bertambah dari masa ke samasa.
Contohnya pada tahun 2001 jumlah keanggotaan kesatuan ini adalah seramai 350
orang. Penubuhannya adalah untuk mewakili pekerja-pekerja pusat pelancongan dan
penggalak pelancongan yang berada di Semenanjung Malaysia. Manakala
pekerja-pekerja pusat pelancongan di Serawak dan Sabah pula tidak berada di
dalam kesatuan ini kerana mereka tertakluk kepada akta kesatuan yang berbeza.
Kesatuan sekerja ini diketuai seorang ketua dan diikuti oleh beberapa orang
pegawai sepertimana carta organisasi kesatuan untuk pegawai-pegawai kesatuan
sesi 2013-2015 (lampiran disertakan).
PENUBUHAN
KESATUAN SEKERJA
Sesebuah kesatuan sekerja yang
ditubuhkan perlu mendaftarkan penubuhan mereka
dengan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Kementerian Sumber Manusia,
Malaysia. Oleh itu, Kesatuan Pekerja-Pekerja Penggalak Pelancongan Malaysia di Semenanjung
Malaysia juga mesti mendaftarkan penubuhan kesatuan mereka dengan jabatan yang
sama dan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan di bawah Akta Kesatuan
Sekerja 1959.
Jabatan
Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Kementerian Sumber Manusia telah menggariskan
beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh sesebuah kesatuan sekerja yang mahu
mendaftarkan penubuhan mereka. Lima(5) syarat tersebut ialah permohonan mesti
ditandatangani oleh sekurang-kurangnya tujuh ahli dalam kesatuan mereka,
sesebuah kesatuan sekerja mesti menggunakan borang pendaftaran kesatuan yang
telah ditetapkan dan perlu diserahkan bersama-sama yuran atau fi yang
ditetapkan, sesalinan peraturan kesatuan yang dicetak dan ditandatangani oleh
tujuh ahli tersebut perlu diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja,
Kementerian Sumber Manusia,
Kesatuan sekerja
pekerja-pekerja Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia telah ditubuhkan dan
didaftarkan pada tahun 2000 . penubuhannya adalah berdasarkan peraturan Ordinan
Kesatuan Sekerja 1959. Pada peringkat awalnya kesatuan mempunyai keahlian
seramai 57 orang dan semakin bertambah dari masa ke semasa. dengan jumlah
keahlian pada tahun berikutnya berjumlah 350 orang.
SEBAB-SEBAB
PENUBUHAN
Sesuatu konflik dalam hubungan
perusahaan boleh wujud pada bila-bila masa. Contohnya, konflik atau pertikaian
dalam sesebuah industri terjadi disebabkan oleh silap komunikasi, sikap
semulajadi manusia yang mempunyai kehendak yang tidak terbatas, sikap atau
tindakan majikan yang memberi tekanan yang keterlaluan kepada para pekerja,
pengabaian hak dan kebajikan pekerja oleh sesebuah majikan dan sebagainya.
Pertikaian atau konflik di antara pekerja dengan majikan merupakan sesuatu yang
lumrah dalam sesebuah organisasi.
Pada
umumnya terdapat tiga sebab utama penubuhan sesebuah kesatuan sekerja oleh
pekerja. Pertamanya, adalah motif ekonomi seperti sesuatu isu yang melibatkan
masalah gaji, pembayaran bonus dan juga elaun-elaun tertentu. Penyertaan
pekerja di dalam sesebuah kesatuan sekerja juga adalah disebabkan mereka
mahukan hak dan kebajikan mereka dilindungi. Umum mengetahui sesebuah kesatuan
mesti ditubuhkan berdasarkan undang-undang tertentu maka sesebuah kesatuan itu
sudah semestinyalah dilindungi oleh undang-undang yang berkaitan dengan
penubuhannya. Rasional penyertaan pekerja dalam kesatuan sekerja ialah untuk
mengelak diskriminasi majikan ke atas mereka, menghalang dari amalan-amalan
yang tidak adil seperti bias, pilih kasih, membezakan gaji di antara pekerja
kerana faktor agama, kaum, jantina dan sebagainya. Menurut Allen Flanders,
sesebuah kesatuan bertindak sebagai “watch
dog” bagi ahli-ahlinya daripada sebarang layanan yang tidak adil yang
mereka terima daripada majikan mereka (Marilyn Aminuddin, 1990).
Sebab
ketiga penyertaan pekerja di dalam sesebuah kesatuan sekerja adalah atas
sebab-sebab sosial. Sebagaimana yang kita sedia maklum manusia adalah haiwan
sosial. Justeru, disebabkan keperluan sosial itulah para pekerja akan menyertai
sesebuah kesatuan sekerja di dalam sesebuah organisasi yang mereka bekerja.
Antara sebab-sebab sosial tersebut ialah pengaruh rakan-rakan sekerja,
keinginan untuk berpesatuan, untuk status seperti mereka yang menjawat jawatan
tinggi dalam sesebuah kesatuan akan dipandang tinggi oleh rakan-rakan sejawatan
mereka.
Sebagaimana
penubuhan kesatuan sekerja lain, kewujudan Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga
Pelancongan Malaysia juga berperanan untuk menjaga hak dan kebajikan ahli-ahli
mereka. Dengan kata lain kesatuan sekerja ini bertindak sebagai wakil kepada
ahli-ahli kesatuan untuk menyuarakan pendapat, cadangan dan juga bertindak
sebagai peguam bela untuk terus membela nasib ahli mereka secara konsisten dan
berdasarkan undang-undang yang betul.
Seniman agung negara
P.Ramlee ada menyatakan menerusi bait-bait lagunya iaitu “sedangkan lidah lagi
tergigit, inikan pula suami isteri”. Situasi yang hampir sama berlaku dalam
perhubungan pekerja dengan majikan di sesebuah organisasi. Dalam kesibukan
mereka bekerja untuk mencapai matlamat syarikat, kewujudan suatu konflik atau
perselisihan dalam perhubungan industri adalah sesuatu yang lumrah (Maimunah
Amunudin, 1992). Terdapat sesetengah isu yang boleh diselesaikan dengan kadar
segera dan ada juga isu yang tidak menemui jalan penyelesaian. Lantaran itu
sebagai alternatif penyelesaian konflik di antara mereka maka sebuah kesatuan
pekerja terpaksa diwujudkan. Kesatuan tersebut akan memberi kekuatan kepada
para pekerja dalam proses perundingan tawar menawar dengan majikan mereka. Contohnya
masalah kadar gaji yang tidak setimpal dan di bawah tahap gaji mimimum
merupakan permasalah utama yang berlanjutan hingga ke hari ini.
HAK
DAN TANGGUNGJAWAB MAJIKAN, PEKERJA DAN KESATUAN SEKERJA
Seterusnya seseorang pekerja,
majikan dan juga kesatuan sekerja perlu memainkan peranan masing-masing dari
aspek hak dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka semua. Menurut Akta Perhubungan
Perusahaan 1967, tiada sesiapapun boleh campur tangan dengan memaksa,
menghalang atau melarang seseorang pekerja atau majikan dalam menjalankan
hak-hak mereka seperti hak untuk menubuh dan mengendali sesebuah kesatuan
sekerja, hak untuk berkesatuan dan hak untuk meyertai sebarang
aktiviti-aktiviti yang sah yang dianjurkan oleh kesatuan mereka. Justeru, Akta
Perhubungan Perusahaan 1967 tidak membenarkan sebarang bentuk campur tangan
sama ada dalam bentuk kewangan, keanggotaan atau sebagainya oleh kesatuan
majikan terhadap kesatuan sekerja pekerja-pekerja mereka dan sebaliknya
kesatuan pekerja-pekerja juga ditegah untuk melakukan campur tangan ke atas
kesatuan sekerja milik majikan mereka.
ISU
DAN PERMASALAHAN YANG WUJUD DALAM HUBUNGAN INDUSTRI
Terdapat beberapa isu atau
pertikaian di antara majikan dengan para pekerja di pusat-pusat pelancongan di
Semenanjung Malaysia. Menurut Abdul Razak Omar & Zainal Ariffin Ahmad
(1999) di antara masalah yang terdapat dalam perhubungan perusahaan di Malaysia
ialah isu tangga gaji minimum, insuran berkelompok untuk pekerja yang terdedah
dengan risiko tertentu, masalah gangguan seksual, kepekaan majikan terhadap
sensitiviti agama, budaya dan adat resam masyarakat setempat, isu keselamatan
dan kesihatan pekerja di tempat kerja dan sebagainya.
Sebenarnya
isu penentuan tangga gaji minimum merupakan suatu isu yang global di mana ia
bukan sahaja terjadi di sektor industri pelancongan tetapi ia wujud di seluruh
negara dan di setiap bidang pekerjaaan (Akhbar Utusan Online, 29.08.2013).
Dalam bidang pelancongan, kebanyakan majikan meletakkan gaji minimum seseorang
pekerja terutama bagi pekerja am di bawah tahap gaji minimum yang ditetapkan
oleh kerajaan dan ianya tidak sama di setiap majikan. Contohnya, gaji pekerja
am di pusat-pusat pelancongan di Kelantan tidak sama dengan gaji yang di bayar
oleh majikan untuk pekerja am di pusat-pusat pelancongan di Terengganu dan di
negeri-negeri lain. Pelbagai rayuan telah dikemukan kepada pihak majikan
masing-masing tetapi tidak diendahkan. Situasi ini menimbulkan perasaan tidak
puas hati pekerja-pekerja. Oleh itu mereka telah bertindak untuk menubuhkan
sebuah kesatuan sekerja yang akan bertindak menyuarakan pendapat mereka.
Selain
daripada isu pembayaran gaji minimum, pekerja-pekerja di pusat-pusat
pelancongan di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia juga berhadapan dengan
masalah keenganan pihak majikan untuk melindungi pekerja-pekerja mereka yang
terdedah dengan risiko ketika menjalankan rutin tugasan mereka. Di antara
bentuk pekerjaan yang berisiko tinggi ialah pemandu bot pelancong, pemandu van
pelancong, pemandu pelancong untuk aktiviti ekstrem atau lasak seperti mendaki
gunung, meredah hutan, penyelam skuba dan sebagainya. Memikirkan dengan risiko
yang bakal dihadapi dan minat mendalam terhadap pekerjaan mereka maka para
pekerja pusat pelancongan telah sebulat suara membangkitkan isu tersebut kepada
majikan mereka sekali lagi setelah suara mereka tidak didengari oleh majikan
masing-masing. Dengan bergabung tenaga dan dengan bilangan mereka yang ramai
maka mereka yakin suara mereka akan didengari apabila mereka menyertai Kesatuan
Pekerja-Pekerja Penggalak Pelancongan Malaysia. Para pekerja yang sentiasa
berdepan dengan risiko ketika menjalankan tugas merasakan sudah tiba masanya
pihak majikan menjaga kebajikan mereka dengan mewujudkan satu insuran
berkelompok khas bagi para pekerja yang terdedah dengan risiko kehilangan
nyawa.
Selain
itu terdapat satu lagi masalah yang sudah lama berlaku tetapi disebabkan
perasaan malu dan kerana bimbang dengan persepsi yang pelbagai daripada
masyarakat luar dan rakan sejawatan maka mereka yang menjadi mangsa ini
mengambil pendekatan untuk berdiam diri. Namun apabila isu seumpama ini telah
diketengahkan oleh pihak kerajaan maka satu demi satu kejadian telah dibawa
kemuka pengadilan. Masalah gangguan seksual yang menjadikan para pekerja hotel
dan para pekerja pelancongan sebagai mangsa bukanlah suatu isu baru dan ianya
bukan hanya menjadikan golongan hawa sebagai mangsanya tetapi terdapat juga
dikalangan pekerja lelaki di industri pusat-pusat pelancongan yang telah
menjadi mangsa ganguan seksual. Isu yang mengejutkan banyak pihak ini bukan
hanya dikatakan dilakukan oleh para pelancong asing tetapi mereka juga mendakwa
turut diperlakukan oleh pelancong tempatan dan oleh majikan mereka sendiri.
Oleh yang demikian dengan penubuhan Kesatuan Pekerja-Pekerja Penggalak
Pelancongan Malaysia yang beroperasi di Semenanjung Malaysia ini bertepatan
dengan masa dan isunya. Harapan para pekerja adalah agar kesatuan tersebut
mampu menangani masalah kritikal yang melanda mereka yang berkecimpung dalam
industri pelancongan negara. Sekiranya mereka yang menjadi mangsa tidak
menyertai kesatuan ini maka sudah tentu suara mereka tidak diendahkan oleh
pihak majikan kerana suara mereka yang bergerak secara individu adalah kecil.
Justeru mereka telah memilih untuk mejadi ahli kesatuan seupaya suara mereka
dapat didengari, mereka yang menjadi mangsa juga tidak diperlekehkan dengan
pelbagai cara dan mangsa juga tidak akan dimomokkan dengan bermacam-macam
alasan (Akhbar Metro online, 2012).
Masalah
keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja juga tidak kurang pentingnya.
Pekerja-pekerja pusat pelancongan terutamanya “house keeping” adalah terdedah secara langsung dengan penggunaan
bahan kimia ketika menjalankan tugas harian. Bahan kimia yang terdapat dalam
bahan-bahan yang mereka gunakan seharian sedikit sebanyak memberi kesan
terhadap isu keselamatan dan kesihatan mereka (Kementerian Sumber Manusia,
2013). Isu keselamatan dan kesihatan ini juga terjadi kepada pemandu bot
pelancongan, pemandu van pelancongan, dan pemandu pelancong yang terlibat
dengan program aktiviti ekstrem. Isu keselamatan dan kesihatan pekerja di
tempat kerja atau lebih dikenali sebagai OSHA ini sering kali diperkatakan
sejak akhir-akhir ini.
Akhir
sekali masalah yang sering berlaku ialah ketidakpekaan majikan terhadap
sensitiviti agama, budaya dan adat resam masyarakat setempat. Majikan terutama
dari kalangan warga asing kebiasaannya tidak mempedulikan masalah tersebut. Contohnya
pengusaha pusat-pusat pelancongan di pulau-pulau peranginan seperti Pulau
Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Perhentian dan sebagainya menyediakan minuman
keras dan menganjurkan parti liar yang mengganggu bukan hanya masyarakat
setempat tetapi dikalangan pekerja mereka sendiri. Isu terbaru ialah terdapat
majikan di sebuah pusat pelancongan di Johor telah menjadikan surau untuk
penganut agama Islam sebagai tempat penyebaran dan tempat ibadat agama Budha
(Sinarharian,14 Ogos 2013).
BENTUK-BENTUK
PENYELESAIAN YANG DILAKSANAKAN
Rakyat Malaysia merupakan
masyarakat yang amat sukakan kedamaian dan menolak sebarang bentuk amalan
kekerasan. Malah kemerdekaan negara juga adalah hasil daripada proses rundingan
dan bukanlah daripada peperangan atau sebarang bentuk pertumpahan darah. Oleh
yang demikian, para pekerja telah mengadakan beberapa siri proses rundingan
dengan majikan mereka berhubung dengan masalah dan konflik yang melanda mereka.
Proses
rundingan dipilih kerana para pekerja merasakan mereka perlu menghormati
majikan mereka. Di samping itu ketiadaan tokoh-tokoh yang berwibawa dan
berpengaruh di kalangan para pekerja di sesebuah pusat pelancongan juga
menyebabkan mereka memilih kaedah rundingan untuk menyelesaikan masalah dalam
hubungan perusahaan dengan majikan mereka. Sebagaimana penubuhan kesatuan
sekerja lain, kewujudan Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Pelancongan Malaysia
juga berperanan untuk menjaga hak dan kebajikan ahli-ahli mereka. Dengan kata
lain kesatuan sekerja ini bertindak sebagai wakil kepada ahli-ahli kesatuan untuk
menyuarakan pendapat, cadangan dan juga bertindak sebagai peguam bela untuk
terus membela nasib ahli mereka secara konsisten dan berdasarkan undang-undang
yang betul.
SEJAUHMANA
KEJAYAAN RUNDINGAN
Walau bagaimanapun, disebabkan
suara para pekerja yang sedikit maka proses rundingan dan tuntutan mereka itu
gagal. Majikan telah memanipulasi para pekerja mereka dengan pelbagai momokan
sehingga mempengaruhi tuntutan mereka. ketiadaan pengaruh dan kredibiliti di
kalangan para pekerja juga menjadi peyumbang kegagalan proses rundingan mereka
dengan pihak majikan.
KESAN
DARI KEGAGALAN RUNDINGAN
Ekoran daripada kegagalan
tersebut dan bentuk masalah yang hampir sama di kalangan pekerja-pekerja pusat
pelancongan di Semenanjung Malaysia telah mendorong para pekerja untuk
menubuhkan kesatuan sekerja agar suara mereka didengari oleh pihak majikan.
Justeru pada tahun 1999 Kesatuan Pekerja-Pekerja Penggalak Pelancongan telah
ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib ahli-ahli mereka dan para pekerja pusat
pelancongan secara umumnya.
Tindakan awal pihak
kesatuan adalah mengadakan rundingan dengan majikan. Dan sekiranya proses
rundingan tersebut juga menemui kegagalan maka beberapa tindakan perusahaan
boleh dilakukan terhadap pihak majikan sejajar dengan peruntukan undang-undang
yang sah. Di antara tindakan perusahan yang menjadi pilihan utama kesatuan
sekerja ialah untuk mengadakan piket. Seksyen 40 Akta Perhubungan Perusahaan
memberi keizinan kepada para pekerja
melancarkan piket di tempat kerja atau di kawasan yang berhampiran
dengan tempat kerja dengan syarat ia dilakukan secara aman.
Objektif utama piket
ialah untuk memberi maklumat kepada masyarakat umum dan pihak majikan khasnya
tentang konflik yang sedang melanda mereka. Ia juga adalah satu kaedah untuk
meraih simpati masyarakat umum di samping menarik sokongan daripada para
pekerja lain. Interpretasi pekerja daripada tindakan piket ini ialah ia akan
memalukan majikan. Oleh itu pihak majikan lazimnya akan menyetujui untuk
diadakan proses rundingan seterusnya untuk menyelesaikan masalah di kalangan
mereka.
Namun, sekiranya
tindakan piket tidak diendahkan oleh pihak majikan maka Akta Perhubungan
Perusahaan 1967 membenarkan ahli-ahli kesatuan untuk melancarkan tindakan yang
lebih keras iaitu mogok. Tindakan perusahaan ini bermaksud memberhentikan kerja
secara keseluruhannya dengan hasrat untuk menghadkan atau melambatkan proses
produktiviti. Walau bagaimanapun, tindakan mogok tidak boleh dilakukan dengan
sewenang-wenangnya, ianya perlulah mengikut garis panduan mogok sebagaimana yang
telah ditetapkan oleh Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Sekerja.
Sekiranya kedua-dua
tindakan perusahaan tersebut juga gagal maka sebagai langkah terakhir pihak
kesatuan sekerja boleh mengfailkan tuntutan mereka ke Mahkamah perusahaan.
KESIMPULAN
Malaysia merupakan sebuah negara
yang kaya dengan pelbagai jenis kebudayaan, kepelbagaian kaum, agama dan adat
resam. Malah Malaysia cukup bertuah kerana terletak digarisan khatulistiwa menyebabkan
negara kita diselimuti dengan pelbagai fauna dan flora yang sesetengahnya amat
jarang dijumpai di dunia. Di sebabkan faktor tersebut dan dengan pelbagai
kemudahan infrastruktur serta prasarana menjadikan Malaysia sebagai sebuah
negara yang wajib untuk dilawati oleh pelancong asing. Namun pihak majikan dan
para pekerja juga perlu mengambil ikhtibar dan pedoman untuk tidak mencacatkan
keindahan negara kita dari kaca mata pelancong dengan pelbagai masalah. Justeru
dengan adanya Kesatuan Pekerja-Pekerja Penggalak Pelancongan Malaysia ini
adalah diharapkan ianya dapat memain peranan dengan sebaik mungkin dalam
menyelesaikan masalah dan kemelut yang melandan majikan dan ahli-ahli mereka.
Dengan adanya kesatuan sekerja ini proses transformasi pelancongan negara dapat
dilaksanakan dengan jayanya dan slogan keramat “pelancong didahulukan,
pencapaian diutamakan” dapat direalisasikan.
Bibliografi
Abdul Razak Omar,& Zainal Ariffin Ahmad.(1999). Perhubungan Industri di Malaysia. Kota
Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.
ILBS. (2001). Akta
Perhubungan Perusahaan 1967. Kuala Lumpur: International Law Book
Services.
ILBS. (2001). Akta
Kesatuan Sekerja 1959 (Akta 262) & Peraturan-Peraturan. Kuala Lumpur:
International Law Book Services.
Maimunah Aminudin. (1992). Human resource management. Kuala Lumpur: Fajar Bakti
Mariln Aminuddin. (1990). Malaysian industrial relations. Singapore: McGraw-Hill
Laman Sesawan
Akhbar myMetro online,2012 capaian pada 28.10.2013 di http://www.hmetro.com.my
Akhbar sinarharian online, 14 Ogos 2013 capaian pada
28.10.2013 di http://www.sinarharian.com.my
Akhbar utusan online, 20.08.2013 capaian pada
28.10.2013 di http://www.utusan.com.my
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,
Kementerian Sumber Manusia, capaian pada
28.10.2013 di http://www.dosh.gov.my
Boleh tak saya nak tahu apakah kejayaan yang telah dikecapi oleh kesatuan ini?
ReplyDelete