Tuesday, March 18, 2014

Assignment Pelaburan Awam



TAJUK: PERBADANAN FIDLOT KEBANGSAAN (NFC)
1.0         PENGENALAN
Masalah kekurangan pengeluaran daging lembu di Malaysia merupakan suatu isu yang sudah lama didendangkan oleh kerajaan. Kedudukan negara Malaysia yang berada di garisan khatulistiwa, dianugerahkan kawasan tanah subur yang luas dan bebas daripada risiko bencana alam seakan tidak memberi kelebihan kepada industri ternakan lembu di negara ini (Saat Sulaiman,2010). Senario ini menjadikan negara terpaksa bergantung kepada pengimportan daging lembu daripada negara luar. Natijahnya, Malaysia terpaksa membelanjakan jutaan ringgit untuk menampung masalah tersebut. Lebih memeritkan apabila faktor tersebut menjadi penghalang perkembangan teknologi pertanian negara.
            Bertitik tolak daripada itu, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai kemudahan pinjaman, latihan dan pelbagai insentif lain untuk menarik minat masyarakat supaya turut serta terlibat mengatasi masalah kekurangan bekalan daging lembu. Justeru, agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta dan orang perseorangan mesti sama-sama terlibat untuk menghentikan masalah tersebut. Antara program yang diadaptasi[1] oleh kerajaan persekutuan ialah dengan memperkenalkan kaedah ternakan lembu daging secara fidlot. Gabungan kerajaan pusat, Pebadanan Menteri Besar Negeri Sembilan dan sebuah syarikat swasta akhirnya berjaya membentuk Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) di Daerah Gemas, Negeri Sembilan. Bagi merealisasikan hasrat murni itu kerajaan telah memberi pinjaman mudah kepada NFC supaya matlamat Dasar Pengeluaran Daging Lembu Negara tercapai.
            Ironinya, aspirasi kerajaan telah disalahgunakan oleh beberapa pihak yang berkepentingan sehingga menyebabkan program NFC gagal mencapai matlamat sehingga menyebabkan masalah kekurangan pengeluaran daging lembu negara masih menjadi igauan buruk kerajaan

2.0         DEFINISI PENGURUSAN DAN PELABURAN AWAM
Kamus Dewan edisi keempat (2007), mentakrifkan pengurusan  sebagai perihal mengurus sesuatu seperti perihal mengurus syarikat, badan perniagaan, persatuan dan sebagainya. Manakala, pelaburan pula didefinisikan sebagai sejumlah wang atau modal yang dilaburkan dalam sesuatu urusniaga dan penanaman modal. Dengan kata lain, pelaburan merupakan sesuatu yang dibeli dengan harapan akan mendapat keuntungan yang berlipat ganda. Seterusnya, Kamus Dewan edisi keempat (2007), juga menghuraikan awam adalah sesuatu yang berkaitan dengan masyarakat, orang kebanyakan atau orang ramai secara keseluruhannya.
Dari sudut ekonomi pula, pelaburan awam ialah perbelanjaan modal awam yang diusahakan untuk mendapatkan sesuatu faedah yang diharapkan pada masa hadapan. Matlamat pelaburan awam ialah untuk memaksimumkan kebajikan masyarakat melalui pengeluaran barangan dan perkhidmatan awam. Ia berbeza dengan pelaburan yang dilakukan oleh pihak swasta di mana pelaburan yang dilaksanakan hanya bermotifkan keuntungan material semata-mata. Contohnya, pelaburan dalam bidang pendidikan membolehkan masyarakat bandar dan desa menikmati kemudahan dan perkhidmatan pendidikan seperti sekolah, kolej, perpustakaan dan universiti yang lebih sempurna bagi meningkatkan modal insan dan kualiti hidup.

3.0         LATAR BELAKANG NFC
Masalah kekurangan bekalan daging lembu di Malaysia sebenarnya sudah lama wujud. Pengeluaran daging lembu dalam negara masih di tahap yang rendah iaitu dianggarkan hanya 23% pada tahun 2005 (www.moa.gov.my).  Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan persekutuan untuk mengatasi masalah tersebut. Antaranya ialah melalui pengimportan daging lembu daripada negara lain. Menurut kajian yang dilakukan oleh Johar Seman (2007), Malaysia mengimport lembu dari Australia hampir 6000 ekor sebulan yang menelan belanja 10 hingga 120 juta setahun. Dengan kata lain, negara kita masih bergantung kepada sumber bekalan daging dari luar negara seperti India, Australia, Thailand dan New Zealand. Fenomena ini merugikan Malaysia kerana berlaku aliran keluar mata wang kepada negara lain. Ironinya, pengimportan daging lembu berkenaaan perlu dilakukan bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan yang sentiasa meningkat dari masa ke semasa iaitu untuk kegunaan domestik dan keperluan industri pemprosesan daging.
Kerajaan persekutuan juga mewujudkan Dasar Pertanian Negara. Beberapa inisiatif baru diambil oleh kerajaan untuk mengatasi kemelut ini dari terus membelenggu negara. Umpamanya kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) telah mengadakan Dasar Pengeluaran Daging Lembu Negara[2] sebagai garis panduan dalam meningkatkan pengeluaran daging. Dua objektif utama dasar tersebut adalah untuk meningkatkan populasi ternakan lembu kepada 1.3 juta ekor menjelang tahun 2010 dan meningkatkan pengeluaran daging lembu daripada 18% kepada 28% kadar sara diri (SSL) dengan pengeluaran sebanyak 45,000 tan matrik daging pada tahun 2010 (Abdul Hamid Jaffar, Abdul Malik Ismail dan Chamhuri Sivar, 1997).
Menurut Mohd Fauzi Mohd Jani dan Nik Hashim Nik Mustapha (1995), langkah drastik yang pragmatik perlu diambil oleh kerajaan supaya masalah kekurangan daging lembu ini dapat diatasi terutama ketika musim-musim perayaan dan semasa cuti penggal persekolahan. Anjakan pradigma penternak dan peladang perlu dibuat dengan mentransformasikan  kaedah penternakan tradisional[3] kepada ladang fidlot[4] secara komersil. Dari kaca mata ahli akademik Abdul Hamid Jaffar, Abdul Malik Ismail dan Chamhuri Sivar (1997), penglibatan swasta secara besar-besaran dalam penternakan seperti ternakan lembu daging menggunakan kaedah fidlot dengan sistem pengeluaran dan pemasaran secara bersepadu dijangka dapat melonjakkan pengeluaran daging lembu negara. Ironinya, penglibatan pihak swasta untuk melabur dalam skala yang besar tidak mudah berlaku di sebabkan kekangan-kekangan tertentu umpamanya ia memerlukan modal pelaburan yang besar untuk mendapatkan baka lembu daging yang sesuai dan dalam menyediakan kemudahan-kemudahan prasarana yang berkaitan, masalah kekurangan tanah, tempoh pulangan yang lambat, pulangan pelaburan yang kecil dan persaingan dengan lain-lain aktiviti ekonomi yang lebih menguntungkan. Bagi mengatasi halangan-halangan tersebut, pihak kerajaan dan badan-badan swasta perlu turut sama-sama terlibat di dalam projek tersebut (Mohd Fauzi Mohd Jani, Nik Hashim Nik Mustapha, 1995).
Dalam usaha menyokong hasrat Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara, Kerajaan Negeri Sembilan telah bersetuju untuk membangunkan kawasan seluas 5,000 ekar di Daerah Gemas sebagai Ladang Beef Valley[5] bagi mengusahakan aktiviti ternakan secara komersial agar dapat menyumbang kepada bekalan makanan negara khususnya bagi Negeri Sembilan dan Lembah Klang. Pusat Fidlot Nasional  akan menjadi komponen utama di Ladang Beef Valley ini. Inisiatif ini adalah juga selaras dengan matlamat Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan pengimportan bahan-bahan makanan serta memperolehi imbangan perdagangan makanan yang positif menjelang tahun 2010.  

4.0         OBJEKTIF PERBADANAN FIDLOT NASIONAL (NFC)
Perbadanan Fidlot Nasional atau NFC merupakan salah satu daripada projek mega kerajaan . Kesanggupan kerajaan mengeluarkan perbelanjaan yang besar ialah untuk memastikan matlamat Dasar Pengeluaran Daging Lembu Negara di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dapat direalisasikan (Sabitha Marican, 1997). Objektif program tersebut dapat dibahagikan kepada objektif umum dan objektif khusus.
4.1         Objektif umum
·         Untuk meningkatkan pengeluaran daging selaras dengan matlamat Dasar Pengeluaran Daging Lembu Negara.
4.2         Objektif khusus
·         Membangunkan Pusat Fidlot Nasional (PFN) yang dikenali sebagai Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) di Gemas, Negeri Sembilan untuk dijadikan pusat penternakan lembu fidlot secara komersil dan bersepadu.
·         mengurangkan pengimportan bahan-bahan makanan serta memperolehi imbangan perdagangan makanan yang positif menjelang tahun 2010.  
·         Mewujudkan sistem pengeluaran daging lembu secara perladangan kontrak dengan rantaian pemasaran produk yang kukuh dan bersepadu di seluruh negara.
·         Mewujudkan rantaian bekalan (supply chain) dalam industri pengeluaran daging lembu secara bersepadu yang melibatkan aktiviti huluan dan hiliran.


5.0         KONSEP PERLAKSANAAN
Program Fidlot Nasional adalah berkonsepkan pembangunan industri secara bersepadu dengan menjadikan ladang utama penternakan lembu fidlot secara besar-besaran terletak di kawasan seluas 5,000 ekar di Gemas, Negeri Sembilan Darul Khusus. Program tersebut diterajui oleh satu syarikat utama (anchor company) iaitu Agroscience Industries Sdn Bhd yang membentuk Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) sebagai integrator[6] penternakan lembu fidlot yang menaungi secara kontrak pengusaha fidlot di Beef Valley dan anggaran tiga ratus sepuluh (310) pengusaha fidlot di ladang-ladang satelit di luar kawasan seluruh Semenanjung Malaysia.
Sebenarnya pemilihan syarikat ini adalah berdasarkan tendar terbuka[7]. Menurut Zainal Abidin Mohamed (2007), pemilihan tender secara terbuka membolehkan semua kontraktor yang berkelayakan diberi peluang untuk mencuba nasib mereka untuk memenangi tender kerana klien tidak terikat untuk memilih mana-mana pretender yang menawarkan harga yang paling rendah. Dalam kes NFC, hanya 6 buah syarikat yang membentangkan cadangan projek ternakan mereka (tawaran harga) kepada Jawatankuasa Pemilihan Syarikat Peneraju Bagi Projek Fidlot Negara yang dipengerusikan oleh YB Datuk Seri Noh Omar selaku Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 25 September 2006. Hasilnya, Jawatankuasa tersebut telah bersetuju memilih dua syarikat untuk melaksanakan projek ini tetapi salah satu dari syarikat tersebut telah menarik diri. Oleh yang demikian, Syarikat Agroscience Industries Sdn Bhd telah dipilih untuk menjayakan Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).
Secara asasnya komponen NFC terdiri daripada kawasan penempatan ternakan seperti kandang dan kemudahan ternakan, kawasan untuk penanaman makanan ternakan, sebuah tempat sembelihan bertaraf antarabangsa dengan kemudahan pemprosesan daging dan kilang pengeluaran makanan ternakan yang berasaskan Palm Kernal Cake (PKC)[8] atau Palm Kernal Extraction (PKE).[9]
NFC selaku integrator bertanggungjawab membekalkan input utama seperti bekalan lembu daging, makanan ternakan dan khidmat nasihat kepada entiti yang mencorakkan NFC iaitu Agroscience Industries Sdn Bhd. Selain itu, pada masa yang sama pengusaha NFC diamanahkan untuk memastikan kreteria-kreteria yang terkandung dalam kontrak dengan pihak kerajaan dipatuhi mengikut syarat perjanjian. Umpamanya, bekalan lembu daging yang mencukupi,  sistem pemeliharaan , bekalan makanan ternakan, penyediaan latihan dan khidmat nasihat terutama kepada pengusaha ladang satelit, sistem pemasaran,  kilang industri hiliran dan infrastruktur untuk kemudahan kakitangan seperti perumahan, sistem jalan raja dan kemudahan-kemudahan asas lain.

6.0         OPERATOR FIDLOT
Berdasarkan portal Kementerian Pertanian dan Asas Tani, operator fidlot yang mengurustadbir pelaburan mega berimpak tinggi kerajaan persekutuan ini terdiri daripada beberapa entiti seperti berikut:
6.1.      Operator dalam kawasan Program Fidlot Nasional.
·         Sebuah (1) Syarikat Integrator iaitu Perbadanan Fidlot Nasional.
·         Sebuah (1) syarikat komersil.
·         Pengusaha kontrak secara komersil.
6.2.      Operator luar kawasan Program Fidlot Nasional.
·         Terdiri daripada 310 pengusaha komersil dan semi-komersil.


7.0         PERANAN NFC
Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) merupakan syarikat yang bertanggungjawab selaku intergretor Program Fidlot Nasional. Dengan kata lain, ia ditubuhkan dengan gabungan beberapa entiti yang berkepentingan. Agroscience Industries Sdn Bhd bertindak sebagai peneraju utama manakala Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Perbadanan Menteri Besar Negeri Sembilan (MBNS Inc.) sebagai pemegang saham terbesar. Tujuan kedua-dua entiti terbabit ialah untuk memastikan perjalanan projek selari dengan agenda pembangunan industri pengeluaran daging lembu negara.
Peranan NFC dalam mengurus pelaburan kerajaan di dalam industri daging lembu negara ialah ia diberi tanggungjawab dan diamanahkan untuk menjalankan tugas-tugas sepertimana berikut:
·         Menjadi integrator kepada syarikat kontrak komersil di dalam NFC dan ladang-ladang satelit ternakan lembu di seluruh Semenanjung Malaysia.
·         Bertanggungjawab memastikan pengeluaran sekurang-kurangnya sebanyak 20,000 ekor lembu fidlot sepusingan atau 60,000 ekor lembu fidlot setahun.
·         Bertanggungjawab memastikan bekalan anak-anak lembu fidlot mencukupi untuk dibekalkan kepada ladang-ladang kontrak komersil dan ladang-ladang satelit komersil di seluruh Semenanjung Malaysia.
·         Memastikan bekalan makanan sama ada dari jenis PKC atau PKE untuk lembu fidlot adalah mencukupi kepada ladang-ladang kontrak komersil dan ladang-ladang satelit komersil di seluruh Semenanjung Malaysia.
·         Bertindak membeli semula lembu-lembu fidlot daripada ladang-ladang ternakan lembu yang dijalankan secara kontrak komersil di dalam NFC dan ladang-ladang ternakan lembu secara satelit komersil di luar NFC.
·         Berperanan memasarkan produk-produk hiliran yang berasaskan daripada lembu.


8.0         JUMLAH PELABURAN KERAJAAN DALAM NFC

Menurut Johar Seman (2007), masalah kekurangan bekalan daging untuk kegunaan demostik dan industri dalam negara bukanlah perkara yang baru yang dialami oleh rakyat di negara ini. Isu tersebut sudah lama dibincangkan dan pelbagai usaha telah diambil sama ada di peringkat pusat, negeri, swasta atau badan-badan NGO untuk membendung perkara tersebut dari terus menghantui masyarakat di Malaysia.
Pada tahun 2006, satu kaedah penyelesaian baru telah ditemui oleh kerajaan, khasnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Hasil daripada kajian dan penyelidikan serta berdasarkan peratus kejayaan yang tinggi di beberapa negara penternak seperti New Zealand dan Australia  kaedah ternakan lembu secara ladang pada skala besar yang diurus secara sistematik atau lebih dikenali sebagai fidlot telah dipraktikkan oleh kerajaan di daerah Gemas, Negeri Sembilan. Proram fidlot negara tersebut terdiri dari beberapa entiti. Kerajaan bertindak sebagai pelabur utama manakala syarikat Agroscience Industries Sdn Bhd  bertanggungjawab mengurus dan mentadbir NFC supaya matlamat yang diidamkan oleh negara dapat direalisasikan mengikut jadual.
Pada peringkat awal iaitu di bawah RMK 9 kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 80 juta untuk membangunkan Program Fidlot Nasional. Peruntukan ini akan digunakan untuk pembangunan Perbadanan Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan iaitu sebanyak RM 40 juta dan selebihnya bagi pembangunan ladang-ladang satelit fidlot di seluruh negara. Walau bagaimana pun, jumlah perbelanjaan pelaburan tersebut tidak mencukupi jika dibandingkan dengan keluasan tanah dan prasarana yang perlu dibagunkan di Beef Valley dan di ladang-ladang ternakan secara satelit di seluruh Semenanjung Malaysia. Lantaran itu, pada 14 Ogos 2007, Kementerian Kewangan sebagai wakil kepada kerajaan telah meluluskan pinjaman mudah (soft loan) berjumlah RM 250 juta kepada Perbadanan Fidlot Nasional untuk mempercepatkan pembangunan dan persediaan bukan sahaja untuk syarikat ini, tetapi untuk segala infrastruktur komersil sepanjang rantaian nilai untuk membolehkan pembangunan Program Pembangunan Usahawan yang akan melatih dan memberi khidmat nasihat kepada 310 peladang dan penternak di seluruh negara yang bagi mewujudkan ladang-ladang setelit secara komersil (lihat lampiran -Laporan Audit Negara 2010).
Pinjaman sebanyak RM 250 juta itu akan digunakan oleh pengurusan NFC untuk disalurkan kepada perkara-perkara berikut (www.moa.gov.my):
·         Pembangunan infrastruktur ternakan seperti kandang, kilang, makmal dan sebagainya yang boleh menampung keperluan keseluruhan projek NFC.
·         Memenuhi konsep pembangunan NFC yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Integrator NFC iaitu meliputi rangkaian pengeluaran, pemprosesan, pemasaran dan bekalan input secara bersepadu serta membangunkan ladang-ladang  kontrak dalam NFC dan 310 ladang satelit di luar NFC.
·         Membina kemampuan dari aspek pemasaran, perancangan operasi, kewangan, perancangan organisasi dan pengurusan sumber manusia.
·         Menjanakan kapasiti membangunkan industri pedaging negara dari aspek penghasilan produk termasuk hasil hilirannya, membawa dan mengadaptasikan teknologi penghasilan ternakan, menjalankan penyelidikan dan pembangunan dalam sistem pengeluaran dan juga pemprosesan serta melaksanakan pemindahan teknologi baru dalam pengeluaran ternakan di seluruh rangkaian NFC.

9.0         PERANCANGAN STRATEGI PENGURUSAN NFC
Menurut portal Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dalam tempoh 3 tahun pertama penubuhannya iaitu dalam fasa 1 perkembangan NFC  pihak pengurusan NFC akan mula membina sistem jalan raya untuk memudahkan urusan penggankutan dan penghantaran daging lembu kepada pembeli. Di samping itu NFC juga akan membina infrastruktur operasi untuk pusat fidlot mereka dan membina pusat sembelihan bertaraf antarabangsa. Dalam tempoh tersebut juga NFC bakal membina rangkaian pengedaran apabila sistem logistik dan penghantaran serta membina pasaran yang dapat mempromosikan NFC sebagai pengeluar daging yang konsisten dan berkualiti tinggi siap dibina. Ini adalah sebagai persediaan untuk program pembangunan keusahawanan kepada pengusaha ladang-ladang ternakan supaya ladang ternakan yang dijalankan secara tradisional selama ini bakal diubah kepada sistem pengurusan ladang yang lebih sistematik, moden dan pada skala yang besar (Abdul Hamid Jaffar, Abdul Malik Ismail,Chamhuri Sivar, 1997).
Program Pembangunan Usahawan yang dinyatakan itu merupakan satu program yang akan dilaksanakan untuk Fasa 2 pembangunan NFC. Melalui program pembangunan keusahawaan ini para pengusaha ternakan lembu di seluruh negara akan dilatih dan diberikan bantuan khidmat nasihat agar hasrat kerajaan untuk melahirkan tokoh-tokoh usahawan berjaya dan berdaya saing dapat direalisasikan. Seramai 310 pengusaha fidlot satelit di seluruh negara akan dibangunkan bersama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan di jangkakan program tersebut mampu menampung keperluan daging lembu negara sebanyak 40% akan menjadi kenyataan. Produk pengusaha-pengusaha luar bandar yang menyertai Program Pembangunan Usahawan akan disalurkan ke pasaraya-pasaraya seperti Tesco, Jusco, Carrefour, Cold Storage dan Giant serta francais kepada restoran-restoran yang berasaskan daging sebagai salah satu saluran untuk memasukkan daging negara ke dalam pasaran dan membina janama sendiri untuk daging dari NFC.
Program ini tidak boleh dimulakan lebih awal kerana ia akan membebankan penternak-penternak jika dilaksanakan tanpa ada infrastruktur dan terutamanya pasaran di mana produk mereka boleh disalurkan. Tanggungjawab untuk menjual segala produk yang dikeluarkan oleh Program Pembangunan Usahawan ini di bawah naungan NFC. Situasi ini dapat  mengurangkan beban peladang dan penternak dalam domestik untuk mencari pasaran, sebaliknya Program Pembangunan Usahawan itu memberi peluang kepada penternak supaya mereka lebih fokus kepada isu-isu operasi dan penjagaan lembu. 
Rumusnya, Program Pembangunan Usahawan yang diwujudkan oleh NFC dapat memajukan operasi sistem lojistik dan penghantaran serta membina  pasaran bagi produk Pusat Fidlot Nasional sebagai pengeluar daging yang konsisten dan berkualiti tinggi. Di samping itu, dengan adanya program seumpama itu ia memberi inspirasi kepada pengusaha NFC untuk membangunkan rumah sembelihan yang bertaraf antarabangsa.


10.0      SEJAUHMANA KEJAYAAN NFC
Secara ringkasnya pembangunan Program Fidlot Nasional merupakan projek utama pembangunan industri lembu daging negara seiring dengan Dasar Pengeluaran Daging Lembu Negara. Signifikannya  program ini kepada negara ialah ia merupakan satu pelaburan berimpak tinggi negara kerana ia memerlukan perbelanjaan yang tinggi dari kerajaan untuk keperluan rakyat di negara ini (Mei Ling Sieh Lee, 2007). Pembangunan fizikal NFC bermula pada tahun 2006 dan dijangka siap sepenuhnya sebelum pertengahan tahun 2008. Pembangunan ladang-ladang satelit yang bernaung di bawah NFC juga akan dibuat selari dengan pembangunan NFC itu sendiri dan dijangkakan beroperasi sepenuhnya menjelang berakhirnya tahun 2009. Dengan terlaksananya projek tersebut adalah dijangkakan pengeluaran daging lembu untuk kegunaan masyarakat dalam negara ini akan meningkat secara berperingkat-peringkat mulai akhir tahun 2007 dan mencapai 50 ribu tan metrik setahun menjelang tahun 2009 (www.moa.gov.my).
Berdasarkan laporan Ketua Pengarah Jabatan Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam Laporan Audit Negara 2010 menyatakan NFC sebenarnya tidak gagal dalam mencapai matlamat penubuhannya. Buktinya seperti mana yang tercatat di mukasurat 138, Laporan Audit Negara 2010 bahawa sasaran 8,000 ekor lembu pada tahun 2010 sebenarnya tercapai. Seterusnya laporan tersebut juga menjelaskan, jumlah sebenar ternakan lembu yang dibawa ke ladang Pusat Fidlot Nasional adalah 8016 ekor bagi tempoh 2008 hingga  2010 dan daripada jumlah tersebut 5,742 telah disembelih sehingga akhir bulan November 2010. Oleh itu, sasaran 8,000 ekor lembu pada tahun 2010 sebenarnya telah dapat direalisasikan oleh NFC.
Menurut pengurusan NFC, program pembangunan di Beef Valley  menunjukkan perubahan yang positif kerana hanya dalam masa 3 tahun pertama Perbadanan Fidlot Nasional  berjaya membina semua infrastruktur, mekanisma dan logistik penghantaran produk ke dalam pasaran. Malah produk NFC sudah berjaya memasuki hampir kesemua hypermarket besar di dalam negara. Umpamanya hypermarket Jusco, Carrefour, Cold Storage dan Giant, pasar-pasar tani seluruh negara dan syarikat-syarikat pengeluar makanan hiliran iaitu makanan yang berasaskan daging seperti burger dan hotdog. Selain itu, NFC juga telah berjaya memasarkan produk daging NFC ke beberapa rangkaian hotel, restoran dan pengusaha makanan di seluruh Semenanjung Malaysia. Pembinaan pasaran ini amat penting supaya segala hasil daripada Program Pembangunan Usahawan yang dijalankan oleh pengurusan NFC mencukupi dan sentiasa bersedia untuk dipasarkan (Saat Sulaiman,2008).  Contohnya ,‘Gemas Gold’ adalah di antara produk yang berada di pasaran pada waktu ini.
Pelaburan kerajaan di NFC juga telah menunjukkan sesuatu yang boleh dibanggakan. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah memberi kelulusan untuk membina rumah sembelihan yang bertaraf antarabangsa. Dengan adanya pusat sembelihan ini dijangkakan ia mampu menampung jumlah sembelihan sehingga 1000 ekor lembu sehari. Tindakan ini adalah bertepatan dengan  kajian yang dilakukan oleh Ahmad Baharuddin Abdullah (2007), yang menyatakan perkembangan kejuruteraan pertanian adalah penting untuk meningkatkan pengeluaran pertanian menerusi teknologi terkini.  Pada waktu ini, NFC sendiri telah pun membina sebuah pusat sembelihan yang bertaraf antarabangsa kerana sudah mencapai segala akreditasi kualiti dan tahap kebersihan bertaraf antarabangsa seperti VHM, HAACP[10], halal dan sebagainya. Ironinya disebabkan ia hanya sebuah pusat sembelihan yang berskala kecil maka ia hanya mempunyai keupayaan untuk menyembelih 50 ekor lembu sehari.

11.0      ISU DAN PERMASALAHAN PERBADANAN FIDLOT NASIONAL (NFC).
Setiap projek awam yang dilaksanakan bermakna kerajaan telah menggunakan wang awam atau wang rakyat yang diperuntukkan daripada Kumpulan Wang Disatukan (KWDS). Perlaksanaannya meninggalkan pelbagai implikasi sama ada kesan baik atau kesan buruk.
Kontroversi NFC tercetus selepas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010 yang dibentangkan di Parlimen pada 24 Oktober 2011 mendapati perlaksanaannya gagal memenuhi matlamat asal penubuhannya. Tindakan Ketua Audit Negara menjalankan siasatan ke atas NFC adalah sejajar dengan Perlembagaan Malaysia (Lembaga Penyelidikan Undang-Undang, 2011). Berdasarkan laporan tersebut sememangnya terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek itu yang menyebabkan kerajaan bertindak membekukan segala aset NFC sementara siasatan dijalankan dan kaedah penambahbaikan dikenalpasti. Laporan tersebut membayangkan Kerajaan Malaysia sememangnya sedar akan kelemahan-kelemahan dalam pelaksanaan projek NFC. Tambah beliau, analisis audit mendapati objektif projek NFC masih belum dicapai sepenuhnya disebabkan pelbagai faktor yang dihuraikan dalam LKAN 2010. Antaranya, mengikut perjanjian pelaksanaan yang ditandatangani pada Mac 2010, sasaran pengeluaran NFC iaitu 38,600 ekor lembu untuk tahun 2010 belum dicapai kerana Program Pembangunan Usahawan (EDP) yang melibatkan 310 pengusaha ladang satelit belum dilaksanakan lagi. Bardasarkan Jabatan Audit Negara fokus utama pengauditan di NFC ialah untuk melihat pencapaian prestasi projek NFC sejak penubuhannya pada tahun 2006 dan bukannya National Feedlot Corporation Sdn.  Bhd. (NFCorp) sebagai sebuah syarikat. Menurutnya, NFCorp adalah sebuah syarikat yang berdaftar di bawah 
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Pada hakikatnya, projek itu diaudit memandangkan ia penting dari segi pengeluaran makanan negara. Di mana kerajaan persekutuan telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar kepada NFC. Menurut Laporan Ketua Audit 2010 juga kerajaan telah memperuntukan sejumlah RM73.64 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan(RMK-9) bagi menampung kos pembangunan dan pengoperasian NFC di Gemas, Negari Sembilan. Daripada peruntukan tersebut, sejumlah RM48.71 juta telah dibelanjakan setakat akhir tahun 2010 oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menyediakan tapak seluas 2,000 hektar bagi projek tersebut. Walau bagaimana pun, keluasan kawasan NFC telah dikurangkan menjadi 800 hektar sahaja. Beliau seterusnya memberitahu, geran pelancaran untuk penyediaan infrastruktur berjumlah RM13 juta diluluskan kepada NFCorp pada September 2007 dan setakat akhir tahun 2010, sejumlah RM6.52 juta telah dibayar kepada NFCorp untuk penyediaan infrastruktur seperti kandang dan jalan ladang. Ketua Audit Negara Tan Seri Ambrin Buang berkata, pinjaman mudah berjumlah RM250 juta juga telah diluluskan kepada NFCorp menerusi satu perjanjian pinjaman yang ditandatangani pada Disember 2007 dan setakat Mac 2010, sejumlah RM134.7 juta telah dikeluarkan kepada NFCorp berdasarkan kepada tuntutan yang dibuat kepada Kementerian Kewangan.
Kontroversi NFC menjadi bertambah kusut apabila isu tersebut telah dimanipulasikan oleh pihak pembangkang. Terdapat beberapa isu yang dikategorikan sebagai skandal NFC oleh pembangkang.
11.1      Penyelewengan dan salah urus oleh NFC melibatkan wang awam berjumlah RM 250 juta.
Isu NFC mula mendapat liputan meluas setelah perbentangan LKAN 2010 pada 24 Oktober 2011. Belum pun sempat Ketua Audit Negara membuat penjelasan terhadap isu berkenaan, kontroversi NFC terus dipanaskan dengan dakwaan pihak pembangkang yang menyatakan sememangnya terdapat penyelewangan dan salah takbir urus oleh pengerusi NFC iaitu Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail melibatkan wang awam berjumlah RM250 juta. Pembangkang mendakwa kerajaan telah memberikan peruntukan berjumlah RM250 juta secara percuma kepada NFC untuk melaksanakan projek itu. Pembangkang turut mendakwa keluarga Shahrizat menggunakan hampir RM600,000 daripada dana NFC untuk membayar hutang kad kredit mereka pada 2009. Namun, NFCorp menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan perbelanjaan kad kredit tersebut digunakan hanya untuk tujuan perniagaan.
Keghairahan pembangkang mengbongkarkan isu NFC kepada masyarakat umum telah memberi impak negatif kepada pihak kerajaan. Situasi ini disebabkan pihak pembangkang telah mengaitkan projek NFC dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memandangkan suami beliau Datuk  Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail adalah Pengerusi Eksekutif NFC. Pembangkang juga telah mendedahkan dokumen penyata baki akaun pelanggan Public Bank Bhd iaitu NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd (NMLC), Agroscience Industries Sdn Bhd dan Pengerusi NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dan penyata akaun anak-anak beliau.
Seterusnya pihak pembangkang dan badan-badan NGO telah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan berhubung dakwaan berlaku penyalahgunaan wang pinjaman dan ketirisan dana yang diperolehi oleh NFC untuk kepentingan peribadi, keluarga dan syarikat-syarikat milik keluarga Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh bin Ismail.
Tindakan telah diambil oleh pihak berkuasa terutamanya PDRM kerana telah menyiasat pengerusi NFC dan keluarga beliau di bawah Akta 613 Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah jenayah oleh perkhidmatan awam atau ejen.Seksyen 409 Kanun Keseksaan menyebut ‘barang siapa yang telah diberi amanah terhadap sesuatu harta, atau kawalan terhadap harta, dalam kapasitinya sebagai penjawat awam atau ejen telah melakukan pecah amanah jenayah mengenai harta itu hendaklah dihukum’.Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun penjara dengan hukuman sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Manakala seseorang daripada pihak pembangkang telah didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 103 (1) (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan bahawa dengan niat mendedahkan maklumat rahsia akaun kewangan dan transaksi perbankan yang bukan milik beliau kepada pihak ketiga iaitu media atau masyarakat umum (Ahmad Shamsul Abd Aziz, Khuzaimah Salleh, Rosmawani Che Hashim (2004) dan Jomo Kwame Sundaram, Sau Ngan Wong (2008). Isu kontroversi NFC ini juga memberi tamparan hebat kepada kerajaan kerana Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil telah diminta agar meletak jawatan.

11.2      Wujud unsur kronisme dalam penganugerahan tender NFC.
Kenyataan ini merujuk kepada kaedah yang diguna pakai oleh kerajaan dalam melantik syarikat yang layak untuk mentadbir NFC. Pembangkang mendakwa kerajaan tidak telus dalam pemberian tender  tersebut. Namun kenyataan dangkal itu dijelaskan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar bahawa pihak kementerian telah mengadakan tender secara terbuka dalam memilih sesebuah syarikat untuk mentadbir NFC. Kementerian juga telah mewujudkan satu mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Syarikat Peneraju Bagi Projek NFC yang menilai enam syarikat yang menunjukkan minat terhadap projek itu.  Bagaimanapun hanya dua syarikat yang berada dalam senarai pendek jawatankuasa tersebut. Seterusnya salah sebuah dari dua syarikat  yang turut dipilih iaitu Lambert Agricultural menarik diri. Ia menjadikan Syarikat Agroscience Industries menerusi National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. sebagai integrator untuk melaksanakan projek ternakan di NFC.

11.3      Pembelian kondominium mewah dan hartanah bernilai jutaan ringgit  yang tidak berkaitan dengan industri ternakan lembu.
Isu pembelian kondominium di Bangsar
Pada 14 November 2011, pihak pembangkang mengecam penjelasan kerajaan pembelian kondominium mewah One Menerung di Bangsar yang dikatakan bernilai RM13.8 juta menggunakan dana NFC adalah suatu langkah bijak. Pembelian kondominium itu dibuat supaya syarikat NFC mendapat pulangan pelaburan memandangkan projek lembunya mengalami kelewatan operasi. Datuk Seri Dr Mohamad Salleh menjelaskan pembelian dua buah kondominium mewah di Bangsar yang bernilai RM6.9 juta setiap satu merupakan tindakan pelaburan yang tepat berbanding menyimpan duit berkenaan di dalam bank.
Senario tersebut tidak disenangi oleh pembangkang kerana mereka berpendapat keputusan melabur dengan membeli kondominium mewah One Menerung di Bangsar merupakan tindakan tidak tepat kerana Jabatan Perkhidmatan Penilaian dan Hartanah mendapati pada tahun 2010 sebanyak 66,328 unit kondominium tidak dapat dijual.
Pembelian kondominium mewah tersebut merupakan suatu tindakan tidak berhemah pengurusan NFC kerana trend pasaran hartanah mewah dijangka akan mengalami penurunan harga pasaran hartanah mewah dijangka akan mengalami penurunan harga bermula dari tahun 2010 dan tahun-tahun akan datang.
Isu pembelian kondominium di Singapura
Seterusnya terdapat ketirisan dana kerajaan yang sepatutnya disalurkan kepada NFC tetapi digunakan untuk membeli sebuah kondominium mewah di tengah-tengah ibu kota Singapura berharga S$ 4,107,600 (kira-kira RM 9.9 juta pada nilai tukaran ringgit Malaysia) yang terletak di 7 Anthony Road, #14-24, Orchard Scotts, Singapura. Kondominium itu didaftarkan terus atas nama keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil pada 27 Januari 2010.
11.4      Beberapa kontroversi yang berkaitan dengan dana awam untuk NFC.
·         Pada 9 Disember 2009, keluarga Shahrizat Jalil telah menggunakan wang dari pinjaman mudah RM250 juta untuk membeli sebuah kereta mewah Mercedes Benz CLS 350 CGI yang berharga RM534,622;
·         Dana sebanyak RM3,363,507 telah disalurkan melalui NMLC untuk membeli dua bidang tanah di Putrajaya, iaitu PT1886 dan PT1887 di Presint 10 Putrajaya. Kebarangkalian tanah-tanah ini dibeli untuk membuka ladang ternakan lembu di Putrajaya adalah tipis sama sekali!;
·         Pada 21 Julai 2010, NFC telah memindahkan sejumlah RM588,585 ke akaun milik Meatworks (Singapore) Pte Ltd milik keluarga menteri berkenaan. Tindakan ini bertentangan dengan fungsi NFC iaitu dalam pengeluaran daging lembu dalam negara. Ironinya, kerajaan persekutuan menegaskan NFC tidak mempunyai sebarang urusniaga dengan Singapura.  Ia disebabkan oleh larangan daging mentah Malaysia yang tidak boleh dieksport ke Singapura. Dalam keadaan sedemikian, timbul persoalan di kalangan orang awam kenapa sejumlah besar wang telah dipindahkan ke Singapura sebagaimana yang di dedahkan oleh sesetengah pihak?
·         Pada 11 Mac 2011, pembangkang sekali lagi mendakwa keluarga Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil sekali lagi menggunakan dana daripada RM250 juta untuk membeli lapan unit pejabat di KL Eko City bernilai RM12 juta.
            Pendedahan ini melengkapkan dakwaan pembangkang sebelum ini bahawa dana NFC yang sepatutnya digunakan untuk membina industri daging negara telah disalurkan kepada syarikat-syarikat peribadi milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil seperti NMLC dan RFC.
11.5     NFC mencatat kerugian antara RM7 juta hingga RM11 juta  pada 2009 dan akan menghadapi masalah menyebabkan kerajaan melupuskan pinjaman itu.
Menjawab tuduhan itu, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail berkata, pandangan itu adalah rumusan tidak matang kerana perjanjian pinjaman tidak menyatakan jadual pembayaran balik dan syarikat masih dalam tempoh yang membenarkan bayaran balik dalam tempoh tertentu menyebabkan NFC tidak melanggar perjanjian pinjaman.
11.6      Kegagalan NFC meyelengara kemudahan infrastruktur dan kemudahan-kemudahan lain yang berkaitan di NFC.
Semasa pemeriksaan audit dijalankan di NFC penemuan audit mendapati terdapat kemudahan infrastruktur yang tidak diselenggarakan dengan baik. Antaranya ialah pagar roboh, water intake outlook rosak, jalan masuk ke NFC berlopak dan sebagainya (lihat lampiran- Laporan Ketua Audit Negara, 2010).

12.0    CADANGAN PENAMBAHBAIKAN        
Hakikatnya, walau pelbagai alasan yang diberi untuk menutup mata, telinga dan mulut masyarakat namun kenyataannya rakyat sudah muak menerimanya sama ada dari pengerusi NFC, kerajaan atau dari pembangkang. Harapan rakyat Malaysia untuk meyaksikan pelaburan awam yang dilakukan oleh kerajaan mencapai detik kejayaan musnah apabila ia dirampas dengan rakus oleh pihak-pihak tertentu. Impian rakyat Malaysia untuk melihat kejayaan projek tersebut hanya tinggal sekadar impian walau kerajaan persekutuan telah berjanji untuk melantik syarikat lain selepas semua siasatan selesai.
Sama ada sedar atau tidak, kegagalan projek NFC sebenarnya boleh dielak seandainya pihak yang terlibat tidak diberi peluang yang luas untuk melakukan sesuatu yang boleh merugikan negara. Misalnya, semua syarikat terbabit dalam NFC perlu membuat laporan secara berkala kepada kerajaan. Dengan adanya laporan tersebut bermakna kerajaan mempunyai akses terhadap pergerakan kewangan dan prestasi kejayaan syarikat-syarikat terbabit.
Di samping itu, kerajaan persekutuan juga boleh melantik Jawatan Kuasa Audit NFC yang berperanan membuat pemeriksaan menyeluruh seperti akaun syarikat, kelengkapan dan kemudahan prasarana yang disediakan, pentadbiran sesebuah syarikat, dan  memeriksa sebarang kerosakan infrastruktur di NFC dan ladang-ladang satelit yang berkaitan. Mereka juga bertanggungjawab membuat pemeriksaan terhadap tahap kesihatan ternakan dan kakitangan syarikat terbabit. Ia berupaya mencegah penularan penyakit yang boleh menyerang ternakan dan mereka yang berada di sekitarnya. Bagi memastikan ketelusan dan kredibiliti pasukan audit terpelihara maka dicadangkan agar Jawatan Kuasa Audit melakukan pemeriksaan secara mengejut sebanyak dua atau tiga kali dalam setahun bergantung kepada tahap kepatuhan yang dilaksana dalam laporan pemeriksaan sebelumnya.
Peranan masyarakat di sekitar dan rakyat Malaysia secara umumnya merupakan mata dan telinga kerajaan. Oleh yang demikian, beberapa saluran tertentu boleh diwujudkan untuk memudahkan masyarakat umum melaporkan sendiri secara terus sama ada kepada Perdana Menteri atau kepada menteri yang berkenaan, dalam isu ini ialah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Berdasarkan perkembangan teknologi semasa, maka sebarang aduan dan cadangan penambahbaikan boleh disalurkan secara terus menerusi laman sosial seperti Facebook dan Tweeter.
Seterusnya, kerajaan perlu mempercepatkan proses mentransformasikan pentadbiran negara supaya menteri-menteri, pegawai-pegawai kerajaan, dan mungkin pekerja sektor swasta lebih bertanggungjawab dan bukan hanya mementingkan kekayaan sendiri. Tindakan ini adalah sejajar dengan Dasar Tranformasi Negara iaitu “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” ( Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak,2010).
13.0    KESIMPULAN
Kesimpulannya tindakan kerajaan mewujudkan Perbadanan Fidlot Nasional atau lebih dikenali sebagai NFC merupakan suatu langkah yang tepat pada masanya. Tindakan ini adalah sejajar dengan Dasar Pengeluaran Daging Nasional iaitu salah satu daripada matlamat utama Dasar Pertanian Negara Ketiga. Kehadiran syarikat terbabit juga sepatutnya dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada negara-nagara luar untuk mendapatkan bekalan daging bagi kegunaan domestik dan industri yang berasaskan daging di negara ini. Perlaksanaan NFC di negara ini telah mengubah lanskap pertanian di Malaysia serta persepsi dan minda masyarakat tempatan untuk melakukan transformasi kaedah ternakan lembu secara tradisional kepada kaedah yang lebih moden dan sistematik.
Walau bagaimana pun, kerajaan melalui agensi-agensi yang berkaitan perlu sentiasa melakukan pemantauan terhadap syarikat-syarikat yang bakal menggantikan syarikat yang sedia ada supaya wang awam atau wang rakyat yang dilaburkan tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Seterusnya ia dapat membendung persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan. Pada masa yang sama ia membantu merealisasikan aspirasi kerajaan untuk menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi.














14.0    RUJUKAN
Abdul Hamid Jaffar, Abdul Malik Ismail,Chamhuri Sivar.(1997).Reformasi pertanian Malaysia
kearah wawasan 2020. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ahmad Baharuddin Abdullah.(2007). Kerjaya dalam bidang kejuruteraan. Kuala Lumpur: PTS
Profesional Publising Sdn.Bhd.

Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.(2010). Jawapan Najib: Merungkai Persoalan Semalam,
Konflik Hari Ini dan Cabaran Masa Depan. Kuala Lumpur:Institut Terjemahan Negara
Malaysia dan MPH Group Publishing.

Hajah Noresah Binti Baharom,(ed).(2007). Kamus Dewan Edisi keempat. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jomo Kwame Sundaram, Sau Ngan Wong,(ed).(2008). Law, Institutions, and Malaysian
Economic Development. Singapura: Universiti Kebangsaan Singapura.

Lembaga Penyelidikan Undang-Undang.(2011). Perlembagaan Persekutuan. Selangor:
International Law Book Services.

Mei Ling Sieh Lee.(2007). Menangani cabaran dunia: strategi globalisasi di Malaysia. Kuala
Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.

Mohd Fauzi Mohd Jani, Nik Hashim Nik Mustapha.(1995). Pembangunan pertanian lestari.
Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zainal Abidin Mohamed.(2007). Pengurusan Strategik. Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributors.Sdn.Bhd.

Laman sesawang

Portal Rasmi Jabatan Audit. Laporan Audit Negara 2010. Capaian 10 April 2013, di
https://www.audit.gov.my/
Portal kementerian pertanian. Pusat Fidlot Nasional.capaian pada 15 April 2013 di    
http://www.moa.gov.my/

















LAMPIRAN


[1] Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) diadaptasi bermaksud dibuat penyesuaian.
[2] Terkandung dalam Dasar Pertanian Negara ke tiga iaitu untuk menggalakkan pengeluaran daging lembu negara.
[3] Menurut kamus Dewan Edisi Keempat (2007) tradisional bermaksud bersifat tradisi, sesuatu yang sudah menjadi amalan turun temurun.
[4] Memelihara lembu secara intensif dalam kandang dengan sistem pengurusan yang moden dan sistematik.
[5] Merujuk kepada Pusat Fidlot Nasional di Daerah Gemas, Negeri Sembilan.
[6] Merujuk kepada agensi yang diberi kuasa menguruskan sesuatu tetapi kerajaan merupakan pemegang saham terbesar.
[7] Bermaksud klien akan mengiklankan tawaran di dalam akhbar-akhbar tempatan untuk menjemput kontraktor atau petender yang berminat menawarkan harga yang munasabah terhadap projek tersebut. kebaikannya ia memberi keadilan kepada kontrator dan kebiasaanya harga yang ditawarkan mengikut harga pasaran.
[8] Makanan ternakan berasaskan isirong kelapa sawit berbentuk pellet
[9] Makanan ternakan berasaskan isirong kelapa sawit yang kaya dengan nutrisi dan serat.
[10] Pengiktirafan antarabangsa. VHM akronim untuk Veterinary Health Mark manakala HAACP akronim Harzard Analysis and Critical Control Point.

No comments:

Post a Comment