Sunday, January 24, 2010

Masalah sosial di kalangan juvana

Perkataan jenayah dalam Islam mengandungi pengertian yang am dan khusus. Secara amnya ia bererti sesuatu yang tidak baik dilakukan dan ia melibatkan dosa besar. Dari segi perundangan apa sahaja yang dilarang dalam Islam, jika dilakukan ia adalah satu dosa dan dengan itu boleh ditakrifkan sebagai jenayah dan mempunyai kesan tertentu dari segi hukuman.

Masalah sosial di kalangan remaja dan pelajar-pelajar sekolah yang melanda masyarakat dan negara semakin meruncing. Tambahan pula kes-kes jenayah juvana kian meningkat di negara kita banyak melibatkan pelajar. Jabatan Siasatan Jenayah Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Bukit Aman melaporkan bahawa pada tahun 2008 sebanyak 5,115 kes juvana yang melibatkan seramai 7,126 orang kanak-kanak dan remaja.

Apa yang menyedihkan, purata umur kes-kes juvana ini antara umur 7 hingga 18 tahun adalah sangat muda berbanding dengan usia jenayah yang dilakukan. Sehingga ini kelompok umur 16 hingga 18 tahun antara yang tertinggi iaitu 5,146 orang di mana melibatkan kes curi motosikal, mencuri, pecah rumah, rogol, dan samun.

Berdasarkan peningkatan kes ini, pelbagai pihak antaranya para pemimpin, ahli-ahli akademik, tokoh pendidikan dan aktivis masyarakat telah menyuarakan pandangan masing-masing tentang faktor yang mendorong golongan pesalah juvana ini melakukan jenayah.

Antara faktor juvana terlibat jenayah ialah:

  1. Ibu bapa kurang kemahiran dalam mendidik anak-anak,
  2. Persekitaran hidup yang di kelilingi unsur-unsur pergaulan bebas dan pendedahan unsur-unsur seks, dan
  3. Kurang didikan agama.

Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang banyak yang diamanahkan oleh Allah SWT. Antaranya ialah mendidik mereka menjadi manusia yang berjaya di dunia ini, terutama sekali dalam suasana masyarakat yang sangat materialistik. Ini memberi cabaran kepada ibu bapa kerana Allah SWT mempertanggungjawabkan mereka supaya mendidik anak-anak menjadi mukmin yang berperanan dalam Islam dan selamat dari seksa api neraka.

Firman Allah s.w.t dalam surah at-Tahrim ayat 6:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu.”

Ibu bapa perlu sedar bahawa mereka sedang menyediakan generasi baru. Ibu bapa perlu sedar bahawa anak dalam dukungan mereka kelak akan menjadi insan yang mempunyai tanggungjawab, dan tata kelakuan mereka akan mempunyai kesan terhadap insan lain.

Secara langsung, nilai dan gaya hidup ibu bapa akan mempengaruhi tarbiyah atau pendidikan anak-anak. Anak-anak akan melakukan apa yang mereka lihat dan akan mengingatinya untuk di contohi. Apa yang nyata, anak yang melihat ibu bapanya menipu tidak akan belajar menjadi orang yang jujur. Anak yang mempunyai ibu bapa yang ganas dan lasak, tidak akan membesar menjadi seorang yang mempunyai sifat kasih sayang.

Merujuk kepada kisah-kisah tauladan Rasulullah SAW, memang terdapat banyak riwayat mengenai cara Rasulullah SAW mentadbir dan menguruskan rumahtangganya. Antaranya:

  1. Mempromosikan dan menghayati hidup beragama dalam rumahtangga.
  2. Mewujudkan persekitaran dan suasana keluarga yang sihat.
  3. Mewujudkan sifat belas kasihan, ihsan, lemah lembut, dan kasih sayang.
  4. Memahami tahap-tahap keperluan anak-anak mengikut proses pembesarannya.

Hakikatnya pencegahan kes-kes juvana dan gejala moral lain bermula di rumah. Walau bagaimanapun kita jangan lupa sumbangan penting Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang memainkan peranan besar dalam mengawal pencegahan kes-kes jenayah di seluruh Malaysia. Sumbangan besar Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam menjaga keselamatan negara membolehkan rakyat hidup dalam keadaan aman damai.

Oleh itu, perlu diingatkan bahawa kerjasama orang ramai dan rakyat seluruhnya amat penting dalam membantu keberkesanan PDRM dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Anfal ayat 27:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Monday, January 4, 2010

Taubat hambamu.

...MasyaAllah, masih banyak dosaku yang tak terampun, masih banyak hutangku yang tak terbayar, belum cukup amalku untuk di bawa jika aku mati, tapi masih lagi aku bernafsu pada dunia.

Bila Izrail datang memanggil, jasad terbujur di pembaringan.Seluruh tubuh akan menggigil, sekujur badan nan kedinginan. Tiada lagi gunanya harta, kawan karib, sanak saudara. Jikalah ada amal didunia, itulah saja pembela kita.

Ya Allah, berikan sekelumit rasa takut akan azab siksa Mu, agar aku sentiasa mengingatimu.

... Segala puji bagi Allah s.w.t, Maha Pengasih lagi Maha penyayang...

Ya Allah, kurniakan kepada ku lidah yang lembut dan basah, yang sentiasa mengingati dan menyebut namamu, hati yang penuh segar mengsyukuri segala nikmatmu dan badan yang ringan menjalankan kewajipan kepadamu..

Ya Allah, kurniakan kepadaku iman yang sempurna,hati yang khusyuk,ilmu yang berguna serta keyakinan yang benar-benar mantap. Ya Allah, kurniakan kepada ku kecukupan agar aku tidak lagi mengharap dan meminta selain dari Mu. Ya Allah,permurah dan permudahkanlah rezeki yang halal kepadaku dan kurniakanlah kepadaku ketenangan iman dan kesihatan agar hambamu ini dapat beribadat kepadaMU dengan tenang.

Ya Allah, engkau ampunkanlah dosa kedua ibubapaku, jagailah dan kasihilah mereka sebagaimana mereka menjaga dan mengasihiku semasa kecil. Tambahkan iman didada mereka,berikan mereka rezeki dan nikmat kesihatan agar mereka dapat beribadat kepadaMU, Ya Allah.Amin..

Ya Allah, ampunkan dosa hambamu yang hina ini. Ampunkan dosa isteri dan anak-anak hambamu ini Ya Allah. Lembutkan hati mereka sebagaimana engkau lembutkan besi kepada nabi Allah Daud. Jadikan mereka sejuk mata memandang. Bukakanlah pintu hati mereka dan tambahkan iman di dada mereka. Ya Allah , jadikan keluarga kami sebagaimana keluarga nabi Muhammad s.a.w. Jauhkan kami dari segala mara bahaya dan petaka,dari ganguan syaitan,dari hasad dengki dan dari perkara yang kami tidak jangkakan. Ya Allah bukakanlah pintu rahmatmu kepada kedua ibubapaku, diri hambamu ini,keluargaku dan semua umat islam sama ada mereka masih hidup ataupun telah mati.

Ya Allah, sesungguhnya hambamu ini akan mati, maka lembutkanlah lidah hambamu ini untuk menyebut kalimah suci Mu.....dan selimutkanlah roh hambamu ini dengan kain dari syurgamu Ya Allah.Dan tempatkanlah hambamu ini bersama mereka yang beriman.

Amin Ya Allah.