Tuesday, March 18, 2014

ANALISAKAN FALSAFAH DAN PRINSIP PENGURUSAN ISLAM DI BANK SIMPANAN NASIONAL, CAWANGAN PERBANKAN ISLAM (CPI), JERTEH, BESUT, TERENGGANU.


TAJUK: ANALISAKAN FALSAFAH DAN PRINSIP PENGURUSAN ISLAM DI BANK SIMPANAN NASIONAL, CAWANGAN PERBANKAN ISLAM (CPI), JERTEH, BESUT, TERENGGANU.
1.0              PENGENALAN
Islam sebagai al-Din [1]yang sempurna dan lengkap merangkumi segala aspek kehidupan. Ia menyediakan prinsip, ciri, etika, falsafah dan sebagainya yang berkaitan dengan masalah pengurusan harta manusia. Salah satu bidang yang dibincangkan ialah menguruskan sumber kehidupan lahiriah manusia yang disebut sebagai “ permasalahan ekonomi”. Peraturan-peraturan yang dibincangkan dalam ilmu muamalat memperkatakan sumber-sumber ekonomi seperti pengeluaran, pengagihan, penggunaan, pinjaman dan sebagainya perlu berlandaskan syariah atau sistem pengurusan Islam.
            Namun sistem tersebut terpaksa bersaing dengan sistem pengurusan konvensional yang telah lama bertapak dalam sistem pentadbiran, pengurusan, perniagaan, perbankan dan kehidupan seharian masyarakat di Malaysia. Kedatangan sistem konvensional [2]di Malaysia sering dikaitkan dengan kedatangan penjajah di Tanah Melayu[3].

2.0              DIFINISI SISTEM PENGURUSAN
Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), mendifinisikan “sistem” sebagai cara atau kaedah untuk melakukan sesuatu. Sistem juga merujuk kepada suatu kumpulan sama ada beberapa bahagian atau alat yang sama-sama bekerja untuk satu tujuan atau matlamat.
Manakala “pengurusan” ditakrifkan sebagai perihal mengurus sesuatu seperti perihal mengurus syarikat, badan perniagaan dan sebagainya (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007).  Menurut Wikipedia bahasa Melayu pula, pengurusan terdiri daripada pengarahan dan pengawalan sebuah kumpulan yang terdiri daripada satu atau lebih orang atau entiti untuk tujuan menyeleraskan dan mengharmonikan kumpulan tersebut untuk mencapai sesuatu matlamat. Ia seringnya merangkumi penggunaan sumber-sumber manusia, kewangan, dan teknologi, serta juga sumber alam semula jadi. Pengurusan juga boleh merujuk kepada seorang atau sekumpulan orang yang menjalankan fungsi pengurusan.
Justeru, sistem pengurusan bermaksud kaedah-kaedah yang digunakan untuk mengurus, mengarah dan mengawal sesebuah entiti untuk mencapai sesuatu tujuan dan matlamat.
3.0              SEJARAH SISTEM PENGURUSAN ISLAM
Menurut Jamil Mukmin (1992), sistem pengurusan Islam diperkenalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w ketika baginda dilantik sebagai pemimpin kota Madinah. Sebelum kedatangan Islam, Kota Madinah dikenali sebagai Yasthrib. Penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w ke Yasthrib telah mengubah lanskap bandar tersebut menjadi ibu kota  negara Islam yang pertama. Rasulullah s.a.w telah menukar nama Yastrib kepada Madinah. Baginda juga telah mengubal Perlembagaan Madinah atau Sahifah Madinah pada tahun 622 Masihi sebagai asas kepada penubuhan negara Islam di Madinah. Perlembagaan Madinah merupakan dokumen bertulis pertama di dunia yang membuktikan kewujudan sistem pengurusan Islam. Ia meliputi semua sudut seperti aspek politik, sosial, ekonomi dan agama. Dari sudut ekonomi misalnya, sistem pengurusan ekonomi Islam telah menjadikan kota Madinah sebagai pusat perdagangan yang penting. Perlaksanaan ekonomi Islam yang bebas daripada riba dan penipuan telah menarik pedagang-pedagang luar untuk datang berniaga di Madinah.
Berdasarkan Mahayudin Yahaya(1998), Perlembagaan Madinah merupakan faktor utama yang menukar Madinah menjadi sebuah negara yang aman walau pun mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang dan agama. Keadaan ini berjaya menarik para pedagang untuk menjadikan Madinah sebagai pusat perdagangan. Perlembagaan Madinah yang diwujudkan oleh Nabi Muhammad s.a.w adalah bukti yang menunjukkan agama Islam mempunyai sistem pengurusan yang terbaik. Pelbagai bentuk sistem pengurusan bermula dari sistem pengurusan pentadbiran sesebuah negara, pengurusan jual beli dan sehingga kepada pengurusan kehidupan bermasyarakat diterangkan di dalam Perlembagaan Madinah.
Sistem pentadbiran Islam yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w diteruskan oleh para sahabatnya sehingga mencapai zaman kegemilangan sistem pentadbiran Islam iaitu semasa pemerintahan Khalifah Utmaniyyah di Turki di mana sebahagian besar jajahannya menggunakan sistem pengurusan pentadbiran Islam. Kejatuhan kerajaan Utmaniyyah pada 1924 Masihi meyaksikan kejatuhan empayar Islam dan secara tidak langsung turut menjatuhan sistem pengurusan Islam di kebanyakan negara (Muhamad Nurhakim, 2008).
4.0       PRINSIP DAN FALSAFAH SISTEM PENGURUSAN ISLAM
Dari sudut bahasa “prinsip” bermaksud asas atau dasar yang menjadi perkara utama sesuatu pemikiran, kajian, tindakan dan sebagainya. Falsafah pula merujuk kepada pengetahuan tentang pengertian-pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi atau sebagai dasar ilmu-ilmu lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007). 
Menurut Ahmad Ibrahim ( 1992 ), sistem pengurusan Islam merupakan suatu sistem pengurusan yang berasaskan tauhid iaitu satu falsafah yang lengkap berhubung dengan manusia dan kehidupannya yang diwahyukan oleh Allah swt. . Di mana manusia merupakan khalifah Allah s.w.t yang diberi tanggungjawab dan amanah dengan tugas atau peranan yang dipikul.  Justeru sistem pengurusan Islam jauh lebih sempurna daripada sistem pengurusan moden kerana ianya bersifat lengkap dan melengkapi (syumul) yang mencakupi aspek jasmani, rohani, dan akal . Perkataan pengurusan Islam di dalam al-Quran ialah “yadabbaru” yang bermaksud pengarahan, pengendalian dan pengurusan. Terdapat juga beberapa istilah lain yang menggambarkan pengurusan Islam seperti “idarah”, “tadbir”, “qiyadah” dan “siyasah”. Tujuan sistem pengurusan Islam adalah untuk mencari keredaan Allah s.w.t iaitu kebahagiaan atau kejayaan di dunia dan di akhirat menerusi ganjaran kebendaan, kepuasaan kerja dan ganjaran pahala.. Beberapa tokoh pengurusan Islam yang terkenal seperti  Abu Yusuf, al-Mawardi, Iman al-Ghazali, Ibn Taimiyyah dan Ibn Khaldun.
5.0       KEPERLUAN KEPADA SISTEM PENGURUSAN ISLAM
Ramai umat Islam yang tidak menyedari wujudnya sistem pengurusan dalam Islam kerana selama ini mereka terdedah dengan sistem yang datang dari barat. Mereka mengambil dan mengamalkan sistem pengurusan Barat dengan bersandarkan kepada teori-teori tertentu samada Teori Klasik atau Kontemporari.  Sebagai contoh  konsep yang menjadi amalan ialah pengurusan saintifik yang dikemukakan oleh Taylor dengan menitikberatkan kepentingan pengkhususan kerja dalam bidang tugas. Justeru, masyarakat  Islam mesti kembali kepada sistem pengurusan Islam itu sendiri yang telah terbukti keberkesanannya . Di antara cirri-ciri sistem pengurusan Islam ialah:
5.1  Bersifat Rabbani
Menurut Abd Aziz Yusof (2007), sistem pengurusan Islam berasaskan sistem rabbani atau ketuhanan.  Di mana sistem pengurusan Islam tidak bersifat kekurangan atau didorong oleh hawa nafsu. Nilai dan asas-asasnya didatangkan daripada Allah SWT yang terkandung di dalam al-Quran dan as-sunnah. Ia merujuk kepada ketetapan konsep halal dan haram mampu mengawal setiap tindakan manusia.

5.2  Aktiviti yang selaras hukum syara’
Segala elemen pengurusan Islam perlu selaras dan diluluskan oleh syara’. Ia merupakan standard yang ada dalam sistem pengurusan Islam bermula dari awal kedatangan Islam dan terus dikekalkan sehingga pada masa sekarang.  Segala aktiviti yang diharamkan oleh syara’ adalah ditegah sama sekali penglibatannya. Oleh itu sebarang aktiviti yang memang jelas pengharamannya seperti perjudian, arak, pelacuran, rasuah, penipuan dan sebagainya adalah dilarang.
6.0 FALSAFAH PENGURUSAN ISLAM
Sesebuah organisasi perlu melaksanakan konsep pengurusan Islam bagi menjadi sebuah organisasi yang mantap, kukuh dan disegani oleh organisasi lain. Bagi merealisasikan konsep ini setiap organisasi perlu melaksanakan beberapa falsafah asas dalam pendekatan Islam iaitu:
                               I.            Tauhid Uluhiyyah.
Tauhid Uluhiyyah mengkehendaki manusia yakin dan percaya bahawa Allah Maha Esa dan menumpukan seluruh pengabdian hanya kepada-Nya. Berdasarkan Abd. Aziz Yusof (2007), segala undang-undang, arahan, peraturan, prosedur dan sebagainya akan digubal sesuai dengan kehendak syariat demi untuk menyelamatkan dirinya dan manusia lain dari kemaksiatan.
                            II.            Tauhid Rububiyyah.
Ia menjelaskan di mana manusia perlu berusaha dan tidak boleh berserah kepada takdir semata-mata dalam usaha mencapai matlamat organisasi. Manusia juga mesti yakin dan percaya bahawa Allah pemilik segala-galanya. Dia yang menghidup dan mematikan, pemberi rezeki, pengurus, pentadbir dan penguasa alam seluruhnya. Dengan itu segala apa yang dimiliki adalah amanah yang akan dipersoalkan di kemudian hari. Menyedari bahawa jawatan, harta dan apa yang dimiliki itu merupakan amanah, pengurus sebagai seorang manusia akan mengimplementasikan konsep amanah tersebut dalam pengurusannya.
                         III.            Sub-sistem Daripada Syariah Dan Tujuan Mencari Keredaan Allah. Mematuhi peraturan dalam syariah menjadikan pengurusan sebagai satu kaedah dalam menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.
                         IV.            Sebahagian Daripada Sistem Kehidupan Dan Bermasyarakat.
Sistem pengurusan merupakan disiplin yang mencorakkan kerjasama antara sesama manusia dan keadaan ini akan melahirkan pembentukan organisasi yang bermotivasi yang mempunyai tujuan memenuhi keperluan bersama yang menepati konsep ibadah kepada Allah. Oleh yang demikian, aspek tauhid merupakan persoalan penting. Menurut Wan Liz Ozman Wan Omar (1996), sekiranya semangat tauhid ini dijiwai oleh individu muslim dengan sepenuhnya maka ia akan memberikan implikasi yang mendalam dalam kehidupan sehariannya. Implikasi yang dapat dihubungkaitkan dengan pentadbiran ialah individu muslim akan bersifat terbuka, tidak jumud dan sempit pemikirannya. Ia juga akan melahirkan insan yang mempunyai harga diri dan keyakinan diri yang paling tinggi,  menjadikan manusia itu orang yang soleh, berani bertindak dan berdiri tegak dengan kebenaran serta putus asa.
                            V.            Al-Falah Dan Mardhatillah Matlamat Akhirat.
Al-falah merupakan konsep kejayaan dunia dan juga akhirat yang turut mementingkan harta dunia tanpa meninggalkan kejayaan untuk menuju alam akhirat dengan mendapat keredaan Allah. Ianya akan melahirkan kepuasan dalam bekerja , hormat-menghormati dan jalinan hubungan antara sesama pekerja serta majikan adalah berdasarkan keikhlasan serta menjauhi perkara yang diharamkan oleh Allah.
7.0       PRINSIP-PRINSIP ASAS PENGURUSAN ISLAM
Pentadbiran dan pengurusan Islam adalah berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah di samping tidak mengenepikan daya pemikiran manusia. Lantaran itu prinsip pengurusan Islam bersifat global, universal dan kekal. Di antara prinsip –prinsip pengurusan Islam ialah:

·         Kepatuhan kepada Keesaan Allah.
 Kepatuhan kepada Keesaan Allah menjadi teras kepada Islam. Kepatuhan manusia kepada keesaan dan kekuasaan Allah akan melahirkan para pekerja dari pelbagai kedududkan sedar tentang tanggungjawab mereka yang sebenarnya. Oleh itu sistem  pengurusan  Islam akan bertindak sebagai perantaraan serta alat yang boleh memartabatkan kemanusiaan dalam diri manusia. Ia boleh menyusun dan mengagihkan segala nilai yang diperlukan oleh manusia secara adil dan saksama.

·         Mengimplementasikan Amalan Syura.
Syura  atau mesyuarat merupakan proses komunikasi yang mengandungi perbincangan, perundingan, percambahan fikiran, pengumpulan dan pertukaran maklumat, pengumpulan fakta dan data serta idea daripada setiap sudut. Tujuanya adalah untuk mencapai suatu  keputusan yang terbaik. Menurut Mustapaha Haji Daud (1999 ), Islam menjadikan amalan syura sebagai suatu pendekatan yang perlu diterapkan dalam segala bidang kehidupan.

·         Mementingkan Persamaan (al-Musawah).
Dalam sistem pengurusan Islam semua manusia adalah sama. Ini bermakna pihak pengurusan, pentadbiran dan semua kakitangan di sesebuah entiti adalah sama di sisi peraturan dan undang-undang Islam. Tiada sesiapa yang boleh dilucutkan hak asasinya melainkan mengikut undang-undang.Setiap pekerja adalah sama daripada  segi tanggungjawab terhadap undang-undang, tanggungjawab terhadap hukuman, agihan dan penerimaan kemudahan-kemudahan.

·         Mendaulatkan keadilan (al-‘Adalah).
Konsep mendaulatkan keadilan bermakna  meletakkan sesuatu pada tempat dan keadaan yang sepatutnya. Dari sudut  pentadbiran dan pengurusan, aspek keadilan boleh berlaku dalam bentuk persamaan di mana semua kakitangan dibayar gaji pada hari yang sama, keadilan dalam bentuk yang berbeza iaitu jumlah imbuhan atau gaji diberi berbeza mengikut kepakaran atau profesion masing-masing dan keadilan dalam bentuk hak keistimewaan di mana ketua boleh menetapkan peraturan dalam pejabat demi kebaikan jabatannya.
·         MengutamakanKebebasan(al-Hurriyyah).
Dalam sistem pengurusan Islam, setiap individu berhak untuk mendapat dalam perkara seperti kebebasan diri, kebebasan beragama, kebebasan bergerak, kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat, kebebasan mencari dan memiliki harta dengan cara yang halal.

·    Delegasi.
Delegasi  pula merujuk kepada agihan dan penyerahan tugas dilakukan mengikut kemahiran, kelayakan dan minat seseorang di dalam memangku tugas yang diberikan oleh pihak pengurusan atau ketua. Ia menerangkan seseorang  yang diberi kuasa ini bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas dan membuat keputusan dengan amanah tetapi tanggungjawab sepenuhnya masih disandang oleh pihak pengurusan.

·    Kerjasama.
 "Hubungan orang mukmin dengan orang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan di antara satu dengan yang lain." Prinsip kerjasama sesama pekerja, antara pengurus dan pekerja, sesama pengurus amatlah penting dan di sinilah letaknya kepentingan syura sebagaimana Al-Quran menyebut, "Dan segala urusan hendaklah dimesyuaratkan di kalangan kamu" (Asy Syura 42:38).
       I.       Kepimpinan berdasarkan Ra’ayah.
Kepimpinan ra’ayah merujuk kepada seseorang ketua atau pemimpin merupakan khalifah dalam Islam yang diberi tanggungjawab yang besar terhadap Allah dan seharusnya bijaksana, berkemahiran, berketerampilan dan pelbagai lagi. Pemimpin juga adalah bertanggungjawab terhadap kakitangan bawahannya dan perlu bersifat terbuka dengan mereka.

8.0       SEJARAH SISTEM PENGURUSAN KONVENSIONAL
Sejarah sistem pengurusan bermula dari zaman kegemilangan empayar Greek, Rom, Egypt, Islam dan China.  Namun evolusi pengurusan moden dikatakan bermula daripada Revolusi Perindustrian di England dan Eropah pada akhir abad ke 19. Negara Jepun pula dikatakan dapat membentuk sistem pengurusan mereka sendiri sehingga berjaya menyaingi sistem pengurusan Barat. Kedua-dua sistem pengurusan tersebut juga dikenali sebagai Sistem Pengurusan Konvensional, dan telah digunapakai oleh kebanyakan organisasi di dunia ini termasuk Negara Malaysia.(Aizzat Mohd Nasuruddin, Intan Osman dan Zainal Ariffin Ahmad, 2006).
Walau bagaimana pun, disebabkan perkembangan tahap pendidikan dan perubahan pemikiran masyarakat menyaksikan sistem pengurusan konvensional  semakin lama semakin terhakis dan diganti dengan sistem pengurusan Islam. Sinario ini wujud disebabkan masyarakat sekarang sedar kelebihan yang terdapat dalam sistem pengurusan Islam kerana sememangnya terdapat perbezaan yang jelas di antara sistem pengurusan Islam dengan sistem  pegurusan konvensional terutama dari aspek teori dan amalannya.
9.0       PRINSIP DAN FALSAFAH SISTEM PENGURUSAN KONVENSIONAL
Berbeza dengan ajaran Islam, prinsip dan falsafah pengurusan konvensional tidak berteraskan sesuatu ajaran keagamaan. Prinsip dan falsafah sistem pengurusan konvensional adalah berlandaskan logik akal, pengalaman dan keuntungan semata-mata. Dalam pengurusan sistem perbankan pengurusan konvensional dilihat mengutamakan riba, konsep pelaburan yang kabur dan prinsip memaksimumkan kauntungan tanpa mempedulikan kebajikan pelanggan.
10.0     LATAR BELAKANG ORGANISASI
Bank Simpanan Nasional atau lebih dikenali sebagai BSN di kalangan masyarakat di negara ini merupakan sebuah badan berkanun [4]di bawah Kementerian Kewangan dan ditubuhkan pada 1 Disember 1974. Penubuhannya adalah untuk mengambil alih tugas dan tanggungjawab Bank Simpanan Pejabat Pos . Misi Bank Simpanan Nasional ialah untuk menggalakkan tabungan, pelaburan dan pengurusan kewangan yang bijak di kalangan rakyat Malaysia sejajar untuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup mereka. Pada masa sekarang BSN mempunyai lebih 5000 orang kakitangan, dengan rangkaian cawangan yang luas termasuk mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) di seluruh negara. Berdasarkan portal BSN sehingga ke hari ini  BSN mempunyai lebih 7 juta pelanggan di seluruh Malaysia simpanan berjumlah RM 10.8 billion.
Dalam aspek pengurusan, sejak dari penubuhannya lagi BSN mengamalkan sistem pengurusan konvensional. Produk-produk BSN termasuklah Pinjaman Persedirian, Pinjaman Perumahan, Pinjaman Mikro Kewangan, Sijil Simpanan Nasional, Akaun Simpanan Giro, Kad Debit Visa Elektron BSN Matrix dengan kemudahan MEPS[5] , Kad Kredit Visa dan MasterCard(www.mybsn.com.my). Bank ini telah melaksanakan inisiatif utama melalui transformasi dan perubahan baru bagi memastikan ia terus wujud berdaya saing dan mempunyai nilai yang kukuh hingga tahun-tahun yang akan datang. Sebagai sebuah bank yang berdaya saing, BSN akan terus mempertingkatkan perkhidmatan serta memperkembangkan produk-produk perbankan untuk kemudahan pelanggan.
Bermula daripada tahun 1994, BSN telah membuat satu anjakan pradigma yang telah mengubah lanskap pengurusan BSN dengan menyediakan skim perbankan Islam.  Akhir 1990an negara dikejutkan dengan krisis ekonomi di Asia. Kegawatan ekonomi yang melanda Asia pada tahun 1997 dan 1998 meyaksikan bank-bank konvensional mencatatkan pertumbuhan negatif. Namun pada masa yang sama sektor perbankan Islam terus berkembang. Senario ini menyababkan masyarakat mula beralih kepada sistem perbankan Islam yang lebih terjamin berbanding sistem bank konvensional yang terdedah kepada pelbagai risiko yang sukar untuk ditangani.  Seterusnya, Tan Sri Dato’ Dr. Zeti Akhtar Aziz selaku Gabenor Bank Negara Malaysia telah menyediakan satu garis panduan yang efektif dari aspek Pengurusan Risiko, Ismalic Financial Services Board (IFSB) yang ditubuhkan pada 2002 telah memperkenalkan dua garis panduan yang perlu dipatuhi oleh institusi perbankan Islam iaitu “The Standards for Capital Adequacy” dan juga “The Guiding Principles for Risk Management for Islamic financial institutions” di bawah Bank Negara Malaysia. Garis panduan yang mengikut spesifikasi antarabangsa ini akan membantu institusi perbankan Islam bagi memperkemaskan lagi amalan sistem perbankan di samping dapat menguruskan risiko dengan lebih berkesan.
Bertitik tolak daripada saranan tersebut pihak pengurusan BSN telah keputusan drastik iaitu untuk menjadikan BSN sebagai sebuah bank yang menawarkan skim perbankan Islam sepenuhnya. Menurut Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning, tindakan BSN melaksanakan Sistem Perbankan Islam merupakan satu transformasi dan perkembangan positif buat BSN untuk terus mengembangkan perkhidmatan perbankan Islam di seluruh negara selaras dengan hasrat kerajaan yang mahukan  menjadikan Malaysia sebagai hab perbankan Islam dunia.
Bagi memenuhi hasrat tersebut, pihak pengurusan BSN telah mewujudkan sistem pengurusan kewangan yang baru iaitu dengan membahagikan sestem pengurusan sedia ada kepada dua (2) jenis utama, iaitu Sistem Pengurusan Konvensional dan Sistem Pengurusan Islam. Dengan kata lain, terdapat dua jabatan yang mengurus sistem pentadbiran dan kewangan di BSN iaitu Sistem Pengurusan Perbankan Islam dan Sistem Pengurusan Perbankan Konvensional. misalnya pada hari ini terdapat cawangan BSN yang masih lagi menawarkan perkhidmatan konvensional dan terdapat beberapa negeri yang sudah sepenuhnya mengaplikasi sistem pengurusan perbankan Islam. Ia dapat dilihat dengan pengenalan warna ungu dan nama cawangan ditambah dengan cawangan perbankan Islam (CPI) bagi cawangan yang menawarkan perkhidmatan Islam dan warna biru dan nama cawangan berdasarkan lokasi bagi cawangan yang menawarkan sistem pengurusan perbankan konvensional. Umpamanya, BSN Negeri Kelantan merupakan negeri yang pertama dipilih untuk menggunakan Sistem Pengurusan Perbankan Islam sepenuhnya bagi menggantikan Sistem Pengurusan Konvensional yang diamalkan sebelum ini. Manakala Terengganu merupakan negeri kedua yang  menggunapakai Sistem Pengurusan Perbankan Islam di Pantai timur Semenanjung Malaysia. Untuk tujuan tersebut beberapa cawangan BSN di negeri Terengganu telah dipilih sebagai cawangan percubaan, antaranya ialah BSN CPI Jerteh.
12.0     Sistem Perbankan Islam
Berdasarkan Mustaffa Dakian (2005), sistem perbankan Islam boleh ditakrifkan sebagai perbankan yang selaras dengan sistem dan etos Islam. Oleh yang demikian, ia merupakan institusi yang diwujudkan untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan bank khususnya kepada umat Islam yang berlandaskan syarak. Dengan erti kata lain, perbankan Islam bermaknma perlaksanaan operasi perbankan yang berlandaskan prinsip yang telah ditetapkan oleh Islam. Pada masa yang sama ia  juga merupakan institusi kewangan yang berobjektif untuk mengimplementasikan prinsip ekonomi dan kewangan Islam dalam arena perbankan.
Sistem perbankan Islam juga bertindak sebagai alternatif kepada kewangan yang menghindari seseorang daripada terlibat dengan amalan perbankan yang berasaskan riba. Walau bagaimana pun, tidak semua cawangan BSN yang menawarkan sistem perngurusan perbankan Islam kepada masyarakat sekitar kerana masih terdapat kekangan-kekangan tertentu daripada Bank Negara Malaysia dan BSN terikat dengan Akta BSN 1974 iaitu sebagaimana yang tercatit di dalam syarat penubuhan BSN. Pihak pengurusan BSN masih lagi mengharapkan supaya Bank Negara Malaysia memberi peluang kepada BSN untuk menggantikan sistem pengurusan konvensional yang ada sekarang kepada sistem pengurusan perbankan Islam di semua cawangannya di Malaysia.     
13.1     Sejarah BSN CPI Jerteh
Bank Simpanan  cawangan Jerteh ditubuhkan pada tahun 1981 di sebuah pekan bernama Jerteh yang terletak di daerah Besut. Penubuhannya adalah seiring dengan objektif utama BSN iaitu untuk menggalakkan dan menggembeleng simpanan masyarakat di sekitar daerah Besut untuk memupuk tabiat berjimat cermat dan tabiat suka menyimpan terutamanya dari golongan penyimpan kecil[6]. Justeru secara tidak langsung ia dapat meningkatkan ekonomi penduduk daerah Besut dan negara amnya.
Pekan Jerteh di pilih sebagai lokasi perniagaan BSN kerana lokasi tersebut merupakan salah satu daripada pusat ekonomi yang terletak di daerah Besut selain daripada Kuala Besut.  Bandar Jerteh yang dimaksudkan ini terletak di utara negeri Terengganu dan bersempadan dengan negeri Kelantan. Keadaan ini menyebabkan Bandar tersebut telah menjadi pusat kegiatan ekonomi bagi daerah Besut. Justeru itu, semua institusi perbankan lain seperti Maybank, Bank Islam, Bank Rakyat, CIMB, RHB, Agro Bank, Bank Muamalah dan Ambank memilih Jerteh sebagai lokasi mereka. Selain daripada institusi perbankan tersebut, terdapat juga pasaraya-pasaraya besar yang mencorakkan ekonomi di Bandar Jerteh  seperti Pasaraya Pantai Timur, Pasaraya Ekonjaya, Pasaraya Ceria, Pasaraya PKT dan Pasaraya Zon Ria.
Justifikasinya, penempatan BSN di Bandar Jerteh adalah sangat relevan pada masanya. Perkembangan ekonomi daerah Besut semakin rancak berkembang dengan penubuhan BSN. Fenomena ini disejajar dengan objektif utama penubuhan BSN iaitu untuk menggalakkan dan mengembeleng simpanan runcit atau daripada masyarakat kampung. Ia berbeza dengan tumpuan bank-bank perdagangan lain yang lebih terarah atau lebih cenderong mendapatkan para pelanggan korporat.
Seiring dengan peredaran masa, BSN cawangan Jerteh telah terpilih untuk ditranformasikan secara total. Bermula 27 Oktober 2008, BSN Cawangan Jerteh telah ditukar kepada Cawangan Perbankan Islam (CPI)(www.bsn.com.my). Tindakan tersebut dibuat kerana permintaan tinggi pelanggan terhadap produk-produk Islam, dasar kerajaan yang menggalakkan sektor perbankan agar lebih terarah atau menumpukan kepada  perbankan Islam, peralihan pengurusan tertinggi BSN dan gesaan daripada kesatuan kakitangan BSN sendiri.
Justeru itu, peluang yang diberikan oleh Kementerian Kewangan tersebut telah disambut baik oleh pengurusan BSN. Beberapa cawangan telah terpilih untuk dijadikan “pilot project”. BSN Cawangan Jerteh seperti yang dijelaskan sebelum ini telah terpilih untuk menjadi sebahagian daripada projek awal Jabatan Perbankan Islam, Ibupejabat Bank Simpanan Nasional. Perubahan tersebut bukan sahaja melibatkan perubahan imej luaran semata-mata, malah ia turut merubah langskap pengurusan dalaman CPI Jerteh itu sendiri.
13.2     MISI
Misi utama penubuhan BSN adalah untuk meningkatkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat Malaysia secara aktif dengan menggalakkan tabungan, pelaburan dan amalan pengurusan kewangan Islam di kalangan rakyat Malaysia untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan kualiti hidup mereka.

13.3     VISI
Visi BSN ialah untuk menjadi pembekal kebangsaan dan pilihan perkhidmatan kewangan Islam yang komprehensif untuk rakyat Malaysia.
13.4     OBJEKTIF   
Objektif atau matlamat Bank Simpanan Nasional dapat dipecahkan kepada dua  kelompok utama iaitu objektif korporat umum dan objektif korporat khusus.
·         Objektif korporat umum
           Meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan kualiti hidup masyarakat di Malaysia.
·         Objektuf korporat khusus
                                            i.            Untuk menggalakkan dan menggembeleng simpanan, khususnya daripada penyimpan kecil.
                                          ii.            Untuk memupuk tabiat berjimat cermat dan simpanan.
                                        iii.            Untuk menyediakan cara untuk simpanan oleh orang awam
                                        iv.            Untuk menggunakan dana Bank untuk pelaburan termasuk pembiayaan pembangunan ekonomi negara.

13.5     PIAGAM PELANGGAN
*      Pelanggan sentiasa diutamakan.
*      Perkhidmatan yang menyakinkan dan memuaskan hati pelanggan.
*      Produk atau perkhidmatan yang berkualiti, cekap, jelas dan lengkap.
*      Persekitaran yang selesa dan selamat.


14.0     SEJAUHMANA PENERAPAN PRINSIP DAN FALSAFAH SISTEM PENGURUSAN ISLAM DI BSN CPI JERTEH.
            Berdasarkan analisa yang dibuat, mendapati BSN CPI Jerteh telah melaksanakan prinsip dan falsafah Sistem Pengurusan Islam di dalam organisasi mereka. Ia dapat di lihat daripada beberapa perkara antaranya ialah;
Misi BSN CPI Jerteh
Misi utama penubuhan BSN adalah untuk meningkatkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat Malaysia secara aktif dengan menggalakkan tabungan, pelaburan dan amalan pengurusan kewangan Islam di kalangan rakyat Malaysia untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan kualiti hidup mereka. Oleh itu, sistem pengurusan perbankan di BSN CPI Jerteh adalah selari dengan sistem pengurusan Islam kerana kedua-dua sistem pengurusan tersebut adalah untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Perlaksanaan sistem perbankan Islam di BSN CPI Jerteh bermaksud segala amalan riba dan syubhat telah tidak diamalkan di BSN CPI Jerteh. Menurut Mohd Jamil Mukmin (1992), ia  sejajar dengan hadis Rasulullah, iaitu dari Nu’man bin Basyir r.a, dia berkata,  aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,
إنَّ الحَلالَ بَيِّنٌ وإنَّ الحَرَامَ بَيِّنٌ ، وبَينَهُما أُمُورٌ مُشتَبهاتٌ ، لا يَعْلَمُهنّ كثيرٌ مِن النَّاسِ ، فَمَن اتَّقى الشُّبهاتِ استبرأ لِدينِهِ وعِرضِه ، ومَنْ وَقَعَ في الشُّبُهاتِ وَقَعَ في الحَرَامِ ، كالرَّاعي يَرعَى حَوْلَ الحِمَى يُوشِكُ أنْ يَرتَعَ فيهِ ، ألا وإنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى ، ألا وإنَّ حِمَى اللهِ محارِمُهُ ، ألا وإنَّ في الجَسَدِ مُضغَةً إذا صلَحَتْ صلَحَ الجَسَدُ كلُّه ، وإذَا فَسَدَت فسَدَ الجَسَدُ كلُّه ، ألا وهِيَ القَلبُ
“Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, yang haram itu jelas, dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang samar (syubhat), yang tidak diketahui oleh banyak manusia. Barangsiapa yang menghindari syubhat itu berarti dia telah membersihkan diri untuk agama dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus ke dalam syubhat itu berarti dia terjerumus ke dalam perkara yang haram, seperti seorang penggembala yang menggembalakan (binatang ternaknya) di sekitar daerah terlarang, hampir-hampir dia akan masuk menggembalakan (binatang ternaknya) di daerah tersebut. Ketahuilah, bahwa setiap raja memiliki daerah terlarang. Ketahuilah bahwa daerah terlarang milik Allah adalah perkara-perkara yang haram. Ketahuilah, bahawa dalam tubuh ada segumpal daging, jika baik maka akan menjadi baik seluruh tubuh, dan jika buruk menjadi buruklah seluruh tubuh. Ketahuilah bahwa itu adalah hati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Konsep asas sistem perbankan Islam iaitu menolak unsur-unsur riba juga adalah bertepatan dengan ajaran Islam. Oleh demikian, penggantian sistem urusan bank dan kewangan konvensional yang berasaskan kepada riba kepada sistem berasaskan perkongsian untung rugi bukan sahaja menggantikannya daripada sudut teknikal tetapi ia juga menggunakan mekanisme pembiayaan yang sesuai dengan keperluan Syariah dan masyarakat Islam. Ini kerana penubuhan bank konventional hanyalah semata-mata untuk memaksimumkan keuntungan sedangkan konsep dan objektif penubuhan perbankan Islam berdasarkan dua faktor utama iaitu faktor agama dan faktor keuntungan.
Secara umumnya, patuh syariah dalam konteks kewangan Islam di Malaysia bermaksud produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh mana-mana institusi kewangan yang memenuhi keperluan perundangan Islam dari tiga aspek, iaitu dari segi larangan yang berkaitan dengan riba, ketidakpastian atau kekaburan dalam kontrak (gharar), perjudian dan aktiviti lain yang melibatkan produk atau perkhidmatan yang tidak beretika oleh Majlis Penasihat Syariah. Hal ini juga bermakna sebarang produk atau perkhidmatan kewangan Islam perlu mematuhi prinsip syariah.
Ringkasnya, mana-mana produk perbankan Islam perlu melalui dua tahap penilaian. Pertama, penilaian syariah yang dilakukan oleh penasihat syariah dalam sesebuah bank. Kedua, penilaian yang dilakukan oleh Majlis Penasihat Syariah di Bank Negara Malaysia (BNM). Proses pematuhan syariah ini bertujuan bagi memastikan produk dan perkhidmatan bank Islam sentiasa harmoni dengan landasan syariah.


             Visi BSN CPI Jerteh
Visi BSN ialah untuk menjadi pembekal kebangsaan dan pilihan perkhidmatan kewangan Islam yang komprehensif untuk rakyat Malaysia. Selaras dengan moto BSN iaitu untuk menjadi sebuah bank komuniti yang terunggul di Malaysia. Dalam konteks pengurusan Islam, visi BSN CPI Jerteh ini juga bertepatan dengan prinsip Islam iaitu konsep kerjasama dan  kepimpinan berdasarkan ra’ayah. Konsep tersebut bermaksud semua kakitangan terutama di BSN CPI Jerteh mesti patuh dan berusaha bersama-sama dengan pihak pengurusan untuk memastikan BSN menjadi bank komuniti  yang  menyediakan perkhidmatan kewangan Islam terunggu di Malaysia.
Matlamat organisasi
Matlamat pengurusan Islam adalah jelas iaitu untuk mendapatkan keredaan Allah s.w.t manakala matlamat pengurusan BSN CPI Jerteh pula ialah untuk menjual atau mempromosikan produk-produk perbankan Islam kepada para pelanggan BSN yang bukan sahaja terdiri dari mereka yang beragama Islam tetapi juga kepada para pelanggan yang bukan beragama Islam. Justeru BSN CPI Jerteh merupakan duta yang menerangkan kepada masyarakat umum mengenai produk-produk kewangan Islam.
Struktur Organisasi  di BSN CPI Jerteh
Struktur organisasi di BSN CPI Jerteh menunjukkan susunatur kedudukan kakitangan berdasarkan pangkat dan unit seseorang kakitangan itu bekerja. Struktur organisasi ini menerangkan semakin tinggi kedudukan seseorang dalam carta organisasi semakin tinggi pangkat yang dipegang.  Berdasarkan struktur tersebut, BSN CPI Jerteh diketuai oleh seorang ketua yang bertanggungjawab menguruskan 18 orang kakitangan di bawah seliaannya. Pemilihan pemimpin atau ketua adalah berdasarkan berkemahiran, bertanggungjawab, berkebolehan, dan berkelayakan. Pemilihan pemimpin itu selari dengan cirri-ciri kepimpinan ri’ayah dalam prinsip pengurusan Islam. Justifikasinya, ia adalah bertepatan dengan syariah Islam iaitu seseorang ketua itu adalah seorang  khalifah yang menjalankan peranannya sebagaimana yang disyariatkan oleh Islam.
Kepatuhan kepada keesahaan Allah s.w.t (Tauhid)
Kepatuhan kepada keesahaan Allah menjadi teras atau tunjang kepada Islam. Segala aktiviti manusia terikat dengan kepercayaan dan keyakinan bahawa Allah s.w.t yang mentadbir dan mengurus segala-galanya. Tauhid akan menghasilkan  ketakwaan dan ia merupakan sifat yang akan menentukan sama ada sesuatu aktiviti yang dilakukan akan diredhai oleh Allah atau tidak.
Di peringkat organisasi BSN CPI Jerteh pula, pihak pengurusan telah menyediakan kemudahan surau agar pekerja mereka dapat mengimbangi hubungan mereka dengan Allah dan manusia. Di samping itu pihak pengurusan juga mengadakan kuliah ringkas keagamaan atau bacaan al-Quran pada setiap pagi khamis yang bertujuan untuk menyuburkan tauhid kepada setiap  kakitangan. Kepentingan konsep tauhid kepada organisasi ialah ia dapat melahirkan para pekerja, pentadbir dan pengurus yang sedar tentang tanggungjawab mereka yang sebenarnya.

            Peranan dan tanggungjawab kakitangan

            Kakitangan di BSN CPI Jerteh berperanan sebagai duta bank yang berfungsi menerangkan kebaikan sistem perbankan Islam kepada pelanggan. Pemilihan kakitangan yang bertugas ditentukan mengikut kemampuan, kemahiran dan kelayakan seseorang kakitangan.  Ia adalah seperti yang telah ditentukan oleh sistem pengurusan Islam iaitu saling mengingati sesama Islam. Manakala kreteria pemilihan kakitangan berdasarkan deligasi yakni agihan dan penyerahan tugas dilakukan mengikut kemahiran, kelayakan dan minat seseorang di dalam memangku tugas yang diberikan oleh pihak pengurusan atau ketua. Kakitangan diberi tanggungjawab itu mesti melaksanakan tugas dan membuat keputusan dengan amanah tetapi tanggungjawab sepenuhnya masih disandang oleh pihak pengurusan.
           
Mesyuarat
Sektor perbankan dengan mesyuarat adalah amat senonim. Setiap pagi Isnin dan khamis pihak pengurusan BSN CPI Jerteh akan mengadakan mesyuarat mingguan yang menerangkan produk-produk, pencapaian yang dilaksana, sasaran cawangan dan sebagainya. Setiap kakitangan bebas menyuarakan pendapat ketika sesi mesyuarat diadakan. senario ini menepati prinsip-prinsip pengurusan Islam yang menuntut setiap organisasi mengamalkan amalan bermuafakat atau musyawarrah sebelum membuat sesuatu keputusan. Proses syura yang dijalankan akan memberi peluang kepada yang terlibat untuk mengemukakan pandangan secara bebas dan pada masa yang sama menghargai pandangan pihak lain. Akhirnya keputusan yang terbaik akan dapat dicapai melalui penyertaan pelbagai pihak. keadaan ini menepati konsep mementingkan kebebasan atau al-hurriyyah.
            Sikap pengurusan BSN CPI Jerteh yang mengimplimentasikan amalan syura atau mesyuarat di kalangan kakitangan amat bertepatan dengan ajaran Islam. Antara kebaikan bermesyuarat ialah sesebuah entiti boleh mengenal pasti  keputusan yang  terbaik sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan. Syura juga merupakan amalan yang sering dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dalam melaksanakan keputusan dan ketika baginda mentadbir Madinah.

 Gaji dan imbuhan
Dari sudut pemberian gaji pula, setiap kakitangan dibayar gaji berdasarkan jawatan atau pangkat.  Oleh itu kadar gaji dan imbuhan seperti pemberian bonus adalah berbeza bagi setiap jawatan yang berlainan. Walau bagaimana pun, tarikh pembayaan gaji adalah sama. Contohnya pada  setiap 25 haribulan. Dalam konteks sistem pengurusan Islam, tindakan tersebut dijelaskan dalam aspek keadilan. Di mana pengurusan keadilan merujuk kepada bentuk persamaan di mana semua kakitangan dibayar gaji pada hari yang sama, keadilan dalam bentuk yang berbeza iaitu jumlah imbuhan atau gaji diberi berbeza mengikut kepakaran atau kemahiran setiap kakitangan.
Kepatuhan manusia kepada keesaan dan kekuasaan Allah akan melahirkan para pekerja, pentadbir dan pengurus yang sedar tentang tanggungjawab mereka yang sebenarnya. Justeru pentadbiran atau pengurusan akan menjadi perantaraan serta alat yang boleh memartabatkan kemanusiaan dalam diri manusia. Ia boleh menyusun dan mengagihkan segala nilai yang diperlukan oleh manusia secara adil dan saksama. Inilah hasrat yang ingin dicapai oleh sesuatu pengurusan atau pentadbiran dalam sistem pengurusan perbankan Islam.
 Peraturan
Aspek peraturan atau disiplin amat ditekankan dan dititik beratkan terutama bagi kakitangan yang bertugas di kaunter pembayaran. Sekiranya elemen ini diabaikan, ia akan memberi peluang kepada kakitangan yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu yang menyalahi peraturan dan disiplin BSN. Umpamanya, seperti tindakan pecah amanah, rasuah, mengambil wang pelanggan, memalsukan dokumen pelanggan dan sebagainya. Justeru setiap kakitangan tanpa mengira pangkat dan kedudukan tidak terlepas daripada undang-undang, peraturan dan tindakan tatatertib serta hukuman bagi pesalah yang melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tindakan Tatatertib Bank Simpanan Nasional.
Kesalahan yang lazim dilakukan  oleh kakitangan ialah  peraturan waktu keluar  dan masuk pejabat  yang menggunakan sistem punckad.  Sistem punckad ini sebenarnya berasal dari Jepun. Walau bagaimana pun, sistem berkenaan masih digunakan sehingga sekarang kerana ia tidak berlawanan dengan norma-norma Islam yang mementingkan ketepatan masa dalam melaksanakan setiap urusan kita. Dengan penguatkuasaan perlaksanaan  sistem punckad bermaksud semua kakitangan di dalam organisasi terlibat tanpa sebarang bias yang melibatkan kedudukan dan jawatan seseorang dalam organisasi.  
Dalam sistem pengurusan Islam, pengurusan yang mendaulatkan keadilan menetapkan seseorang ketua atau pengurus diberi hak keistimewaan di mana beliau boleh menetapkan peraturan dalam pejabat demi kebaikan jabatannya. Manakala dalam aspek mementingkan persamaan pula para pentadbir, pengurus, ketua dan lain-lain adalah sama di sisi peraturan dan undang-undang Islam. Tiada sesiapa yang boleh dilucutkan hak asasinya melainkan mengikut undang-undang.Setiap pekerja adalah sama daripada  segi tanggungjawab  terhadap undang-undang, tanggungjawab terhadap hukuman, agihan dan penerimaan kemudahan-kemudahan.

Kemudahan yang disediakan.

Pelbagai kemudahan asas seperti ruang solat untuk kakitangan yang beragama Islam, ruang makan, bilik mesyuarat untuk mengadakan amalan syura dan sebagainya.
Seterusnya, pihak pengurusan BSN juga menyediakan kemudahan-kemudahan lain kepada kakitangan BSN seperti kemudahan kesihatan percuma di klinik-klinik swasta terpilih dan klinik kerajaan untuk diri sendiri dan keluarga, kemudahan perlindungan insuran hayat, kemudahan elaun sara hidup atau lebih dikenali sebagai ” Cola” dan sebagainya.
Segala peraturan dan kemudahan yang diberikan kepada kakitangan juga menepati prinsip pengurusan Islam yang mementingkan persamaan iaitu prinsip al-musawah.  Para pentadbir, pengurus, ketua dan lain-lain adalah sama di sisi peraturan dan undang-undang Islam. Tiada sesiapa yang boleh dilucutkan hak asasinya melainkan mengikut undang-undang.Setiap pekerja adalah sama daripada segi tanggungjawab terhada p undang-undang, tanggungjawab terhadap hukuman, agihan dan penerimaan kemudahan-kemudahan.

 Hubungan antara kakitangan.

Aspek yang selalu ditekankan di dalam sistem pengurusan di BSN Jerteh ialah meliputi hubungan kakitangan sesama kakitangan, hubungan kakitangan dengan pihak pengurusan , hubungan kakitangan dengan majikan dan hubungan pekerja dengan Allah s.a.w.  Ia adalah sejajar dengan firman Allah s.w.t di dalam al-Quran:
“ Wahai orang yang beriman, bertolonglah kamu dalam hal kebaikan dan janganlah kamu bertolongan dalam hal berbuat dosa dan permusuhan…” (Surah Al- Maidah:2).
Dalam aspek ini BSN CPI Jerteh amat menekankan kepentingan amalan bekerjasama kerana ia menjadi tunjang kepada prestasi cawangan untuk meningkatkan produktiviti dan keuntungan. Setiap kakitangan disarankan sentiasa bekerjasama di dalam menyumpurnakan sesuatu tugasan. Walau bagaimana pun, masih terdapat sedikit persaingan kerana terdapat kakitangan yang mahu menonjolkan diri mereka sebagai yang terbaik di dalam organisasi.
Abd. Jalil Othman, Abd. Rahim  Abd. Rashid dan Sufean Hussin.(2006 Menurut perspektif Islam, maksud bekerja dalam kumpulan prinsip yang telah ditentukan, bertujuan  untuk mencapai matlamat  keredhaan Allah. Dalam memastikan konsep hubungan yang dianjurkan oleh Islam  terpelihara, pihak pengurusan BSN sering menganjurkan kursus dan bengkel untuk memupuk setiap kakitangan BSN sentiasa menjaga hubungan seperti yang diterangkan di atas.
Hasil daripada latihan, bengkel dan kursus seperti kursus team bulding akan melahirkan para pekerja yang bertanggungjawab bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi kepada rakan sepejabat dan pihak organisasi. Pepatah Melayu ada menyebut “bulat air kerana pebentung, bulat manusia kerana maufakat” .  Sikap menjaga hubungan sesama kakitangan juga dapat memberi keseronokan dan kepuasan bekerja kepada kakitangan. Secara tidak langsung ia melahirkan keikhlasan dalam bekerja dan mengganggap kerja sebagai suatu ibadat. Sikap ingat mengingati sesama pekerja juga dapat dibentuk. Para pekerja selalu diingati bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan adalah suatu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan demi mendapatkan keredhaan Allah sama ada di dunia atau di akhirat.
Proses kerja
Proses kerja dalam pengurusan Islam iaitu aktiviti-akviti yang dilakukan sama ada dalam organisasi atau ibadat perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan al-Falah dan keredahaan Allah. Al-Falah bermaksud kejayaan di dunia dan di akhirat. Ia boleh diperolehi apabila matlamat organisasi didahulukan dan akhirat serta keredhaan Allah merupakan aspek yang diutamakan.
Di BSN CPI Jerteh proses kerja pengurusan Islam diterapkan dalam organisasi dan di dalam diri setiap kakitangan. Misalnya, semua urusan baru berbentuk konvensional seperti pembukaan akaun giro, Skim Simpanan Dari Pendapatan (SEDAR), Simpanan Tetap dan sebagainya sudah tidak dapat dilakukan. Walau bagaimana pun, urusan akaun konvensional seperti kemasukan dan pengeluaran dengan tunai atau cek dan pembayaran bil utiliti  masih boleh dilakukan. Namun secara teknikalnya semua urusan  tersebut  telah diasingkan di dalam sistem oleh unit akaun dan Jabatan Perbankan Islam di ibupejabat. Bagi memastikan semua urusan yang dijalankan di semua cawangan perbankan Islam seperti CPI Jerteh berlandaskan syariah maka pihak pengurusan BSN iaitu di bawah Jabatan Perbankan Islam (JPI) telah menubuhkan jemaah pengurusan Islam yang dianggotai oleh mereka yang pakar dalam bidang masing-masing. Jemaah pengurusan Islam tersebut pula dipantau oleh jemaah syariah Bank Negara Malaysia (Laporan Tahunan BSN 2012 ,2013).
Bagi memastikan peringkat cawangan mematuhi prosedur dan proses kerja dengan betul maka ibupejabat BSN telah mengarahkan beberapa siri lawatan dan pemeriksaan mengejut oleh audit dalaman, audit luar, unit pematuhan ibupejabat, unit pematuhan negeri dan penerangan serta pemeriksaan secara berkala oleh pegawai perhubungan Islam yang dilantik di peringkat negeri. Oleh itu segala aktiviti yang dijalankan oleh cawangan perbankan Islam seperti CPI Jerteh dipantau sepenuhnya dengan ketat. Setiap kakitangan dari perbagai bidang tugas telah diwajibkan untuk menghadiri beberapa siri kursus perbankan Islam. Kesungguhan dan keseriusan yang ditunjukkan oleh setiap kakitangan BSN terutama dari CPI Jerteh dalam mempromosikan produk-produk perbankan Islam kepada masyarakat umum yang bukan sahaja terdiri daripada mereka yang beragama Islam tetapi juga kepada para pelanggan yang bukan beragama Islam dapat dibuktikan dengan peningkatan permintaan terhadap produk-produk Islam oleh para pelangan BSN. Produk yang paling laris ialah Sijil Simpanan Perimium(SSP) yang bukan sahaja menawarkan hadiah yang berjumlah RM 18 juta tetapi pelanggan juga mendapat kadar keuntungan yang tinggi. Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan kali ke 98 juga memutuskan simpanan di dalam SSP adalah harus. Situasi ini mengambarkan produk-produk Islam yang ditawarkan oleh CPI Jerteh khususnya mampu menarik minat dan kepercayaan masyarakat sekitar daerah Jerteh terhadap produk-produk yang ditawarkan oleh BSN. Umpamanya, akaun simpanan-i (BSN Giro-i), Sijil Simpanan Perimium(SSP), akaun pelaburan am-i (BSN Ahsan), pembiayaan peribadi-i (BSN Aflah), pembiayaan perumahan-i (BSN An Naim) dan kad kredit-i BSN Visa/ Mastercard ( BSN Al Aiman).
Justifikasinya, pihak pengurusan BSN bukan hanya menukar nama semata-mata tetapi yang lebih penting ialah untuk melihat perlaksanaannya benar-benar mengikut syariat Islam ( Jabatan Perbankan Islam,BSN). Walau bagaimana pun, pemotongan zakat secara terus daripada akaun pelanggan masih tidak dapat dilakukan kerana ia perlu melalui beberapa peringkat kelulusan tertentu. Pengurus Besar / Ketua Pegawai Eksekutif Bank Simpanan Nasional (BSN), Datuk Adinan Maning dalam Laporan Tahunan BSN 2012 optimis permotongan zakat seperti yang dilakukan oleh Bank Islam dapat dilaksanakan sedikit masa lagi. Pada masa ini BSN hanya mengeluarkan zakat perniagaan, pemberian van jenazah dan bantuan membaikpulih rumah hasil daripada kutipan keuntungan perniagaan perbankan Islam. Contohnya, akhbar Sinar Harian Terengganu melaporkan BSN Terengganu telah membayar zakat perniagaan  tahun 2010 sebanyak RM 60,727.00 pada tahun 2012 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) ( lihat lampiran).
15.0     HARAPAN KEPADA ORGANISASI
Perlaksanaan proses kerja dan sistem pengurusan perbankan di BSN CPI Jerteh dilihat sejajar dengan sistem pengurusan Islam.  Namun disebabkan kekangan-kekangan tertentu pemotongan zakat masih tidak dapat dilaksanakan oleh pengurusan BSN. Justeru, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia perlu menyokong hasrat murni BSN tersebut supaya syiar Islam akan tetap terjamin di dalam urusan perbankan tersebut.
16.0      KESIMPULAN
     Sistem perbankan Islam merupakan suatu kaedah umat Islam untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Perlaksanaannya menekankan konsep mencari keredhaan Allah dan menjauhi segala larangannya. Merujuk kepada sistem perbankan yang diamalkan di BSN CPI Jerteh mendapati sistem perbankan di institusi tersebut sememangnya mengadaptasi sistem pengurusan perbankan Islam di dalam aktiviti hariannya. Setuasi ini berbeza dengan apa yang ditekankan oleh sistem pengurusan konvensional yang berasaskan logic akal dan pengalaman semata-mata.



           


[1] Al –Din bermaksud agama( istilah dalam bahasa Melayu) manakala pengertian al-Quran menjelaskan al-Din ditakrifkan sebagai kepatuhan kepada suruhan Allah s.w.t.
[2] Dalam istilah pengurusan, konvensional bermakna sistem pengurusan barat yang bermatlamat memaksimumkan keuntungan semata-mata.
[3] Tanah Melayu adalah nama negara Malaysia sebelum merdeka.
[4] Badan berkanun merujuk sebuah badan yang diasingkan daripada kerajaan dan swasta.
[5] MEPS ialah akronim kepada  Malaysian Electronik Payment System.
[6] Penyimpan kecil merujuk kepada masyarakat di sekitar daerah Besut yang terdiri daripada mereka yang berpendapatan sederhana dan kecil.

No comments:

Post a Comment