Tuesday, April 8, 2014

Bincangkan empat konsep komunikasi

BINCANGKAN EMPAT (4) KONSEP KOMUNIKASI. Pendahuluan Komunikasi merupakan keperluan asas dalam kehidupan manusia. Sedar atau pun tidak, setiap manusia perlu berinteraksi atau berkomunikasi dalam kehidupan seharian seperti dengan keluarga, masyarakat atau warga organisasi. Hakikatnya, manusia adalah kehidupan bermasyarakat yang perlu berkomunikasi sama ada secara verbal atau menggunakan simbol tertentu yang mewakili sesuatu mesej. Definisi konsep Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) mentakrifkan konsep sebagai pengertian am atau idea yang mendasari sesuatu. Manakala komunikasi pula didefinisikan sebagai perhubungan sama ada secara langsung atau dengan perantaraan surat, radio, telefon dan sebagainya. Perkataan komunikasi sebenarnya dipinjamkan daripada bahasa Inggeris, iaitu communication yang bermaksud mewujudkan persamaan. Oleh yang demikian, proses komunikasi yang berlaku di antara dua atau lebih individu merupakan suatu proses untuk mencipta persamaan kefahaman terhadap sesuatu makna. Manakala Emerly, Ault dan Agree (1965), menerangkan komunikasi merupakan seni memindahkan maklumat, idea dan sikap daripada seseorang kepada seseorang. Umpamanya, sejarah silam membuktikan masyarakat terdahulu berhubung di antara satu sama lain melalui simbol-simbol tertentu yang ditemui pada dinding-dinding gua dan makam diraja. Sistem komunikasi tersebut telah berevolusi sehingga kini. Rogers (1969), pula menjelaskan komunikasi sebagai satu proses apabila kedua-dua pihak yang terlibat membentuk dan berkongsi di antara satu sama lain untuk mencapai kesefahaman. Contohnya, hanya individu-individu tertentu sahaja yang dapat memahami maksud yang ingin disampaikan oleh seseorang pelukis menerusi lukisan mereka. Bahasa isyarat juga hanya dapat difahami oleh seseorang yang telah mendalami bahasa tersebut manakala orang awam tidak dapat mengagak dengan tepat maksud yang ingin disampaikan oleh mereka. Richard West & Lynn Turner (2007), pula memperincikan komunikasi sebagai proses sosial di emana individu-individu menggunakan simbol-simbol tertentu untuk dan menginterpretasikan makna dalam lingkungan mereka. Oleh yang demikian, setiap masyarakat atau bangsa tertentu berkomunikasi dalam bahasa yang secara umumnya hanya difahami oleh mereka. Contohnya, pertuturan masyarakat Cina di Malaysia hanya dapat difahami oleh individu dalam kelompok masyarakat mereka sahaja dan sebaliknya bangsa-bangsa lain. Berdasarkan definisi komunikasi yang telah dijelaskan, kita dapat mengenal pasti beberapa komponen komunikasi iaitu sumber atau pengirim, mesej, saluran, penerima dan maklum balas. Rajah 1 di bawah menunjukkan model asas komunikasi. Rajah 1 Model Asas Komunikasi Proses komunikasi bermula apabila sumber iaitu pengirim menghantar mesej kepada penerima atau khalayak dengan menggunakan saluran atau medium tertentu. Proses komunikasi ini dikenali sebagai komunikasi sehala. Selain itu, terdapat juga unsur maklum balas yang menunjukkan terdapat perhubungan antara sumber dengan penerima. Proses maklum balas tersebut dikenali sebagai komunikasi dua hala, di mana berlaku perkongsian makna di antara sumber dengan penerima. Model asas komunikasi juga menunjukkan terdapat gangguan seperti bunyi bising, gagap, kurang konsentrasi dan sebagainya menyukarkan proses komunikasi. Manakala persekitaran sesuatu proses komunikasi juga menjadi faktor penentu keberkesanan komunikasi. Empat konsep (elemen) komunikasi. Menurut Ishak Mad Sah (2006), terdapat beberapa elemen komunikasi antaranya ialah sumber, mesej, saluran dan penerima. Sumber juga dikenali sebagai pengirim. Sumber boleh terdiri daripada seseorang individu, kumpulan atau sesebuah organisasi. Sumber berperanan menghantar sesuatu mesej melalui saluran tertentu kepada penerima. Contohnya, kerajaan Malaysia bertindak sebagai sumber memberikan mesej atau maklumat terkini mengenai misteri kehilangan pesawat MH 370 kepada masyarakat umum (penerima) melalui tertentu seperti saluran televisyen, radio dan media baru. Mesej iaitu intipati dalam proses komunikasi. Mesej terdiri daripada lisan dan bukan lisan dan tersurat atau tersirat. Mesej wujud daripada perasaan yang ingin diluahkan, pendapat dan idea-idea yang hendak disampaikan kepada penerima. Tujuan sesuatu mesej adalah seperti perbincangan, kefahaman, menyalurkan maklumat dan untuk memberi arahan. Contohnya, poster larangan merokok merupakan suatu mesej bukan lisan melarang aktiviti merokok kepada masyarakat umum oleh kerajaan. Saluran adalah merujuk kepada perantara yang berkemampuan menyalurkan mesej daripada sumber kepada penerima. Salah satu penyumbang kepada komunikasi yang berkesan adalah pemilihan saluran. Sumber perlu mengenalpasti saluran tertentu yang dapat menyalurkan sesuatu mesej kepada penerima. Saluran terbahagi kepada tiga iaitu saluran bersemuka untuk komunikasi interpersonal, saluran perantara seperti telefon bimbit dan radio dan saluran mesej tanpa lisan seperti lukisan dan bahasa isyarat. Saluran berubah mengikut peredaran zaman. Umpamanya, masyarakat terdahulu pernah menggunakan burung merpati sebagai saluran untuk menghantar sesuatu mesej tetapi sekarang terdapat pelbagai alternatif yang boleh digunakan sebagai saluran untuk berkomunikasi seperti telefon bimbit, televisyen, radio, akhbar, media baru dan sebagainya. Elemen keempat dalam model asas komunikasi ialah penerima iaitu merangkumi seseorang individu atau sekumpulan individu yang menerima mesej daripada sumber. Proses komunikasi berkesan berlaku apabila sumber dan penerima memiliki ciri-ciri yang sama untuk membolehkan penerima mendenkod mesej daripada sumber. Kesimpulan Berdasarkan empat elemen asas komunikasi tersebut ia membolehkan kita memahami sesuatu proses komunikasi. Elemen-elemen tersebut saling berkaitan antara satu sama lain. Namun apa yang penting dalam sesuatu proses komunikasi adalah sumber dan penerima perlu memiliki ciri-ciri yang sama supaya penerima dapat memahami sebarang maklumat yang hendak disampaikan oleh sumber. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa elemen lain yang turut mempengaruhi proses komunikasi seperti gangguan, persekitaran, pengalaman, pengaruh budaya dan sebagainya. Bibliografi Emery, R., Ault, P., & Agee, W.K. (1965). Introduction to mass communication. Bombay: Valkis, Feefer and Simons Printer Ltd. Ishak Mad Sah. (2006). Kepimpinan dan hubungan interpersonal dalam organisasi. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia. Kamus Dewan Edisi keempat. (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Richard West & Lynn Turner. (2007) Introducing Communinication: Teory, Analysis and Application. New York: McGraw-Hill. Rogers, E. (1969). Modernization among peasants. New York: Holt, Rinehart & Winston.

No comments:

Post a Comment